Saturday, June 18, 2011

M e n g i n g a t i . M a t i

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untukkehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu tetapi mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah."(Riwayat At-Tirmidzi)
 
Huraian Hadith:
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.

2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Setiap yang bernyawa pasti akan mati." (Al-Anbia': 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.

3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.

4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.
 
Larangan Meminta-minta Mati
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: " Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
i) Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
 
ii) Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
 
iii) Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.

 
كَيۡفَ تَكۡفُرُونَ بِٱللَّهِ وَڪُنتُمۡ أَمۡوَٲتً۬ا فَأَحۡيَـٰڪُمۡ‌ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡ ثُمَّ إِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ
"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)"
 (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)

K i s a h . B u r u n g . D a l a m . A l - Q u r a n


Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burungyang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu. (Surah Al-Mulk 67:19)
 
Antara Ayat-Ayat Tentang Burung Di Dalam Al-Quran
 
Diantara haiwan yang banyak disebut di dalam al-Qur'an ialah burung. Kisah mengenainya dimulakan dengan menurunkan dua ayat berbunyi,
"Tiada makhluk yang merayap di bumi, tiada burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat yang serupa dengan kamu." (6:38)
"Tidakkah mereka merenungkan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan sayap-sayap mereka, dan mengatupkannya? Tiada yang menahan mereka kecuali Yang Pemurah." (67:19)
 
Burung-burung didapati bersolat dan menyanjung Allah. Dia menjelaskan,
"Tidakkah kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka? Masing-masing - Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya; dan Allah mengetahui apa yang mereka buat." (24:41)
 
Mereka boleh dijinakkan. Cerita-cerita yang berkait dengan mereka didapati di dalam lima kisah Nabi, iaitu Ibrahim, Yusuf, Daud, Sulaiman dan Isa.
 
Dalam kisah Nabi Ibrahim, mereka disebut apabila Nabi Ibrahim menyeru Tuhan supaya diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan orang-orang yang mati. Dia menjelaskan dengan suatu suruhan supaya iktibar diambil daripadanya.
 
Suruhan-Nya berbunyi,
"Ambil empat ekor burung, dan jinakkanlah mereka kepada kamu, kemudian letaklah sebahagian mereka di atas tiap-tiap bukit, kemudian panggilah mereka, dan mereka akan datang kepada kamu dengan segera." (2:260)
 
Nabi Yusuf pula diminta interpretasi mimpi bagi seorang daripada dua banduan yang dipenjara bersamanya. Dia bermimpi membawa roti di atas kepalanya dan burung-burung memakan sebahagian daripadanya (12:36).
 
Mimpi itu dihuraikan dengan Nabi Yusuf menyatakan bahawa,
"dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya." (12:41)
Kepada Nabi Daud, Tuhan telah membuatkan gunung-gunung dan burung-burung memuji-Nya bersamanya (34:10). Dan burung-burung selanjutnya ditundukkan kepadanya:
"burung-burung dalam keadaan berkumpul, masing-masing kembali kepadanya." (38:19)
Anaknya, Nabi Sulaiman, telah diajar percakapan burung (27:16), yang menjadi satu daripada barisan-barisan dalam tenteranya, selain jin dan manusia (27:17). Burung hud-hud berperanan sebagai peninjau yang membawa balik berita mengenai sebuah negeri,Sabak, yang diperintah oleh seorang perempuan (27:22). Hud-hud kemudiannya diperintah membawa sepucuk surat daripada Nabi Sulaiman kepada pemerintah tersebut.
Dan Nabi Isa, sebagai satu daripada mukjizatnya, telah membuat dengan tanah liat suatu imej berbentuk seekor burung, kemudian dia menghembus ke dalamnya lalu bentuk itu menjadi seekor burung yang hidup (3:49).
Burung-burung, bersama beberapa haiwan lain, seperti yang sedia maklum, telah sejak dari zaman dahulu lagi dilatih untuk berburu. Begitu kata Allah berbunyi "daripada binatang berburu yang kamu mengajari" (5:4).
Kecerdikan burung diriwayatkan lagi di dalam al-Qur'an. Seekor burung gagak telah dikirim oleh Allah kepada seorang anak Adam untuk mengajar cara mengebumikan mayat saudaranya yang dibunuhnya. Burung itu menunjukkan dengan mencakar-cakar tanah (5:31).
 
Allah juga telah mengutus burung-burung untuk menghancurkan sebuah angkatan tentera bergajah.
"Dan Dia mengutus kepada mereka burung-burung berduyun-duyun, dengan membalingkan kepada mereka batu-batu daripada tanah liat yang dibakar," (105:3-4).
 
Sesetengah daging burung baik dimakan, seperti burung puyuh (salwa), yang diturunkan Allah kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya semasa dalam pelarian (2:57, 7:161, 20:80). Kerana keistimewaan daging burung, ia akan menjadi satu daripada hidangan yang diinginkan di syurga. Firman-Nya,
"Dan daging burung, seperti yang mereka menginginkan," (56:21).
 
Untuk mengakhiri perbincangan mengenai burung, diturunkan sebuah misal daripada Allah berbunyi,
"sesiapa menyekutukan Allah, ia seakan-akan dia jatuh dari langit dan burung-burung menyambarnya, atau angin menerbangkannya ke dalam sebuah tempat yang jauh." (22:31)
 
Kisah tentera bergajah yang diceritakan tadi dilengkapkan dengan ayat- ayat di bawah, yang mengandungi satu-satunya perkataan gajah di dalam al-Qur'an:
"Tidakkah kamu melihat bagaimana Pemelihara kamu buat terhadap Orang-Orang Gajah? ..... Dia membuatkan mereka seperti daun yang dimakan." (105:1-5)
 
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
Tidakkah kamu tahu bahwasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
(Surah An-Nur 24:  Ayat ke 41)

Friday, June 17, 2011

S a m a . A t a u . T i d a k . ?

solat tahajjud
Sama atau tidak seorang hamba yang bangun ditengah malam yang rindukan keredhaan,rahmat,keampunan ALLAH Taala dan takut dengan azab ALLAH dengan mereka yang sedang nyenyak tidur atau pun sedang melayari internet?
Seperti ALLAH gambarkan dalam Al-Qur’an

“(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.(Az-Zumar:9)
Apakah sama atau tidak seorang yang ingat ALLAH dengan yang lupa?
ALLAH berfirman:
“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah,a lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.(Al-Hyasr:19).
Apakah sama atau tidak mereka yang berjihad dengan yang bersenang-lenang menonton TV?
jihad
“Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim” (At-Taubah :19)
Apakah sama atau tidak mereka yang merindukan Syurga dengan pencinta dunia?
jalan menuju syurga
“Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah orang-orang yang beruntung.”
(Al-Hyasr:20).
Pertanyaan ini agak retorik dan kita tidak perlu pening kepala nak menjawabnya kerana jawapannya sudah jelas.
“Betapa bahagianya mereka yang TAAT DENGAN SERIUS”
Marilah kita benar-benar serius untuk TAAT agar kita mendapatkan keredhaanNya.

Thursday, June 16, 2011

T a r a n n u m . d i . s i s i . u l a m a


Malaysia mendahului negara Islam lain dalam menganjurkan tilawah al-Quran. Pada tahun ini ia merupakan kali yang ke 53, bermaksud sudah lebih 50 tahun Malaysia dikenali seantero dunia Islam dalam penganjuran tilawah.
Banyak negara Islam lain mengikut jejak langkah Malaysia dengan penganjuran musabaqah yang dijadikan program tahunan. Antaranya Arab Saudi, Iran, Libya, Maghribi, Mesir dan lain-lain. 
Fenomena ini sedikit sebanyak adalah perkembangan yang baik untuk mendekatkan masyarakat Islam kepada al-Quran.
Mukjizat al-Quran sebagai kitab hidayah atau petunjuk untuk seluruh umat manusia dalam melangsungkan kehidupan di dunia merangkumi perundangan, susun atur kalimah, gaya bahas, penulisan dan juga pembacaannya.
Semua perkara tersebut tidak dapat ditandingi atau diatasi oleh seluruh makhluk. Itulah ketinggian al-Quran yang merupakan kalamAllah SWT.
Jika ditinjau pendapat ulama berhubung tarannum al-Quran kebanyakannya memberi dua hukum iaitu makruh dan harus.
Sheikh Khalil al-Husari dalam kitabnya bersama al-Quran menyatakan, golongan yang berpegang kepada makruh tarannum al-Quran antaranya adalah Anas Ibn Malik, Said Ibn Musayyab, Said Ibn Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibn sirin dan lain-lain.
Sementara itu, ulama yang menyatakan harus bertarannum dan memperelokkan suara ketika membaca al-Quran antaranya ialah Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas'ud, Ata' Ibn Abi Rabah, Abu Hanifah, Imam Syafei dan pendapat ini juga dipilih oleh Imam al-Tabari dan lain-lain. 
Hujah bagi yang menyatakan makruh bertarannum adalah diriwayat daripada Said Ibn Musayyab bahawa beliau mendengar Umar Ibn AbdulAziz mengimamkan solat dengan melagukan suara ketika membaca surah lalu Said Ibn Musayyab mengirim utusan kepadanya seraya berkata semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu sesungguhnya para imam tidak membaca begitu, lalu Umar meninggalkan amalan tersebut. 
Seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad tentang hukum melagukan al-Quran.
Imam Ahmad bertanya siapa nama kamu? Lelaki itu menjawab Muhammad. Imam Ahmad berkata: "Apakah kamu suka jika kamu dipanggil Muuuuhamaaaad dengan memanjang suaranya? Dengan maksud merosakkan makna nama yang mulia tersebut?" 
Adapun hujah yang mengatakan harus bertarannum adalah Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Zad al-Ma'adBeliau menyatakan bahawaAbdulrahman Ibn al-Aswad Ibn Yazid mencari dan memilih suara yang bagus dalam masjid di bulan Ramadan.
Al-Tahawi pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah dan para sahabatnya mendengar al-Quran yang dibaca dengan berlagu.
Muhammad Ibn Abdul Hakim pula menyatakan bahawa: "Aku melihat Imam Syafei dan Yusuf Ibn Umar mendengar al-Quran yang dibaca secara bertarannum." 
Terdapat hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan al-Nasaie yang menuntut supaya menghiasi al-Quran dengan suara.
Hakikatnya Rasulullah SAW sendiri amat menyukai suara yang merdu membaca al-Quran.
Aisyah r.a pernah menceritakan bahawa: 
"Satu ketika aku lambat pergi kepada Rasulullah SAW selepas solat Isyak lalu Baginda bertanya: ke manakah kamu sebentar tadi? Aisyah menjawab: Aku terlambat kerana mendengar seorang sahabat kamu membaca al-Quran dan belum pernah aku mendengar orang membaca al-Quran semerdu suaranya. Lalu Rasulullah SAW bangkit bersamaku dan mendengarnya seraya Rasulullah SAW berpaling kepada ku dan bersabda: Dia adalah Salim Maula Abi Huzaifah. Segala puji bagi Allah yang menjadikan orang seperti ini di kalangan umatku," (riwayat Ibn Majah). 
Sempena Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 hingga 17 Mei ini, diharap para peserta memberi persembahan yang terbaik dengan mengambil kira hukum tajwid yang diutamakan.
Mereka juga perlu memahami maksud ayat yang dibaca dan menyesuaikan rentak tarannum yang dialunkan. Kepada pendengar pula ambil peluang dengan menikmati alunan suara al-Quran dan menghayati maksud al-Quran yang dipaparkan bersama alunan tarannum.

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

G e r h a n a . B u l a n . B u k t i . K e k u a s a a n . A L L A H


Photobucket
Marilah kita sama-sama merenung kejadian gerhana penuh Bulan pada malam 16 Jun 2011 (bersamaan 14 Rejab 1432) dengan akal dan mata hati yang telah Allah kurniakan.
Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan Bulan bercahaya dan ditetapkanNya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan Bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan. Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya) kepada orang-orang yang mengetahui. (Yunus :5)

Sebenarnya segala kejadian di alam ini baik di Bumi mahupun di langit adalah ciptaan yang Maha Pencipta. Di sebalik kejadian alam seperti kejadian pasang-surut, siang-malam, gerhana, komet dan lain-lain mengandungi satu hakikat kebenaran yang tidak dapat disembunyikan dan ditolak iaitu tentang kekuasaan yang Maha Pencipta bagi orang-orang yang berakal dan mahu berfikir.
Semua yang wujud di alam ini ada Pemilik dan Penciptanya iaitu Allah. Dia yang menjadikan segala sesuatu dari sekecil-kecil jasad yang bersaiz mungkin lebih kecil dari elektron hingga ke galaksi atau yang lebih besar dari itu tanpa bantuan sesiapa pun dan tidak merasa letih atau penat.
” Dan sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan Bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa dan Kami sedikit pun tidak ditimpa keletihan” Qaaf:30)
Kejadian gerhana merupakan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah.
Diriwayatkan oleh Abu Musa Al Asy ‘ary bahawa Rasulullah S.A.w bersabda:
“Bahawasanya tanda-tanda ini (gerhana) Yang Allah kirimkan, dijadikan sesuatu darinya bukanlah kerana mati seseorang atau kerana lahirnya. Tetapi Allah Aza wa Jalla mengirimkan buat mempertakutkan hamba-hambaNya dengan tanda-tanda itu. Maka apabila kamu melihat sesuatu darinya bersegeralah menyebut Allah, berdoa dan beristigfar.” ( Bukhari dan Muslim)
Ketika gerhana bulan, Bumi berada betul-betul di antara Matahari dan Bulan. Oleh kerana Bumi terletak di tengah antara Matahari dan Bulan menyebabkan cahaya dari Matahari akan dilindung oleh Bumi. Ini menyebabkan bayang terbentuk di sebelah belakang Bumi. Apabila Bulan beredar di dalam orbitnya dan memasukki kawasan bayang tersebut maka Bulan mengalami gerhana. Bulan tidak kelihatan bercahaya. Sebaliknya Bulan kelihatan gelap sedikit demi sedikit sehingga penuh apabila seluruh Bulan memasukki kawasan bayang.
Pergerakan Bulan, Bumi dan Matahari mempengaruhi terjadinya gerhana. Di antara kekuasaan Allah, Dialah yang menggerakkan dan menetapkan laluan Matahari, Bulan dan Bumi sejak dari mula ia diciptakan hingga ke hari ini sehinggalah kiamat.
” Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan Bulan, masing-
masing dari keduanya beredar di dalam garis orbitnya.” Al Anbiya :33
Sekarang mari kita renungkan betapa hebat perjalanan Matahari dan Bulan. Dari sudut astronomi detik berlakunya gerhana menunjukkan betapa tepatnya hitungan pergerakan Bulan dan Matahari. Betapa rumit , teliti dan halus pergerakan ketiga-tiga jasad Bumi, Bulan dan Matahari berdasarkan kepada perkiraan matematik.
“Matahari dan Bulan beredar mengikut perhitungan” ArRahman :5
Oleh kerana Allah telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa Matahari dan Bulan itu bergerak mengikut perhitungan ( matematik ) maka manusia dapat menghitung bila gerhana akan berlaku dan kejadian lain yang berkaitan.
Jika kira renungkan bagaimana Matahari, Bumi dan Bulan masing-masing bergerak dengan kelajuan masing-masing yang sangat laju boleh tiba saat yang tepat berlakunya gerhana. Mengikut hitungan matematik gerhana malam ini Bulan mengalami gerhana penuh iaitu seluruh permukaan Bulan menjadi gelap. Gerhana penuh Bulan pada malam 16 Jun 2011, akan dapat diperhatikan apabila Bulan mula memasuki kawasan bayang gelap bumi (umbra) tepat jam 2.23 pagi.
Bulan akan sedikit demi sedikit akan menjadi gelap akibat memasuki kawasan bayang Bumi sehingga ia akan gelap seluruhnya pada jam 3.22 pagi. Selepas itu Bulan sedikit demi sedikit akan mula bercahaya semula dan bercahaya semula pada 05:05 pagi
Demikianlah hebatnya persembahan di langit pada malam ini. Sebenarnya kejadian gerhana ini memperlihatkan akan kekuasaan Allah bagi orang yang mahu berfikir. Jika mata hati seseorang itu tidak tertutup, ia dapat melihat perjalanan sistem Allah yang menggambarkan keharmonian, ketertiban dan kebijaksaan.
Bagi orang yang berakal dan berrfikir tentang kejadian di sekelilingnya dan diri mereka sendiri dapat melihat dalam setiap kejadian itu mengandungi kerumitan, kehalusan, kebijaksanaan dan keharmonian. Bagi orang yang waras tidak mengatakan semua ini terjadi dengan sendirinya.
Tetapi ia akan meyakini disebalik penyusunan sistem ini terdapat Pencipta yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Sempurna lagi Maha Perkasa.
Pengajaran yang boleh kita ambil ialah jika Allah boleh memperhitung dengan begitu teliti, halus dan tepat perjalanan alam cakerawala yang lebih besar dan rumit keadaannya sudah tentu lebih mudah bagi Allah untuk menghitung amal-amal dan pekara-pekara yang dilakukan oleh manusia samada zahir atau tersembunyi.
Semoga kejadian gerhana ini mengingatkan kita betapa kerdil dan lemahnya manusia dan betapa Maha Berkuasa dan Maha Agong Allah yang mencipta dan mentadbir sekelian alam. Oleh itu kepada Allah kita memperbanyakkan memohon keampunan dan taubat di atas kealpaan dan kesilapan yang kita lakukan di samping memperbanyakkan amal kebaikan dengan berdoa dan beramal soleh serta lakukan solat sunat gerhana.
Semoga Allah menerima taubat dan doa kita. Amin.
Kredit kepada ikramsarawak.com

Wednesday, June 15, 2011

U n t a . P u n y a . H a l


Unta ni sebenarnya kalau ikut bahasa Arab, ada banyak nama… ada yg dipanggil jamal, ibil dan sebagainya… tak mcm bahasa Melayu, kalau unta tetap dipanggil unta… tak kira la kecik ke, besar ke, jantan ke, betina ke… takde plak yg dipanggil unti ke, unto (ni dialek N9 kot..tapi ejaan tetap unta)…

Apa yg speselnya unta ni sehingga disebutkan dalam al-Quran? 

“.. tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?” (al-Ghaasyiah : 17)

Setiap binatang yg disebutkan di dalam al-Quran pasti ada kelebihannya.. seperti lebah, semut dsb… Begitu juga unta ni…

Ustaz Love tak sempat nak bukak kitab pasal unta ni.. hehe.. jadi, Ustaz Love terangkan apa yg teringat di fikiran je la…

Unta ni merupakan haiwan yg paling taat… Kalau tuan dia suruh duduk, dia akan duduk… kalau suruh berdiri, dia akan berdiri… malah ketaatannya melebihi ketaatan anjing kepada tuannya… disebabkan sifat taat ini, maka kalau kita melihat korban di tanah Arab, cukup seorang je yang diperlukan untuk menyembelih unta ni.. tak macam lembu, 10 orang duduk atas perut beliau pun masih lagi meronta2 nak lepaskan diri…

Unta bijak sebab dia mengetahui yang dia akan dikorbankan.. memang dia takkan lari… sebab tu orang tak kata “bodoh mcm unta”… hehe

Selain itu, unta juga binatang paling pemalu… maka, dikatakan yg unta ini takkan mengawan jika diperhatikan oleh manusia… oleh itu, manusia2 yang suka melakukan seks beramai2 sepatutnya berasa malu dengan unta ni…

Unta juga sangat menjaga keluarganya… beliau takkan biarkan isterinya disetubuhi oleh unta lain… berbeza dengan babi… dia boleh tengok je babi2 jantan lain mengerjakan babi betinanya… Oleh itu, orang2 lelaki yg menjaga isterinya daripada gangguan lelaki, mengambil sifat unta yang sangat mulia… jika membiarkan isteri curang dengan lelaki lain (dalam keadaan mengetahui), maka boleh la diumpamakan dengan yg seekor lagi tu..

Unta juga merupakan penunjuk jalan yg baik.. jika beliau tersesat, beliau tahu jalan mana nak balik…

Begitulah serba sedikit sifat unta ni… Orang2 tua dulu kata, kalau kita rajin makan sesuatu binatang itu, maka sifatnya sedikit sebanyak akan mempengaruhi org yg memakannya… kalau daripada kecik dok minum susu ibu lembu, maka kecerdikan anak pun agak berkurangan dibandingkan dengan yg minum susu ibu manusia… Ustaz Love pun tak pasti… sbb bukan Ustaz Love yg buat kajian… cuma baca kajian orang je…

Agaknya, ada tak sesapa nak korban unta tahun ni? bleh bagi Ustaz Love sikit.. hehe
  
Oleh : ustazlove.com

R e n u n g . S e j e n a k . H u b u n g a n . D e n g a n . P e n c i p t a


MANUSIA sebenarnya sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita berfikir mengenai pekerjaan dan bagaimana cara untuk meningkatkan prestasi kerja
Kita juga berfikir mengenai cara mengatasi masalah yang dihadapi. Akhirnya kita akan berfikir mengenai cara menghasilkan prestasi terbaik. 
Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir. Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila berhadapan dengan masalah, misalnya ketika ditimpa musibah, kesempitan wang, sakit atau menghadapi kegagalan. 

Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar usaha berfikir yang dilakukan. Dalam banyak waktu kita habiskan untuk berfikir pernahkah ada dalam fikiran kita mengenai hubungan kita dengan Pencipta?
Bagaimana prestasi iman kita? Bagaimana jalan hidup yang sudah dan sedang serta yang akan kita lalui, adakah mengikut kehendak kita atau kehendak Pencipta?

Pernahkah kita berfikir untuk `menyemak’ semula batin kita? Adakah di dalamnya jernih laksana titisan embun atau lakaran hitam yang kelabu dan berdebu dengan dosa?

Bagaimana solat kita, puasa, anak-anak, suami atau isteri kita sudahkah jelas kefahaman mereka sebagai hamba Allah? Sudahkah matlamat kita selari dengan kehendak Pencipta?

Sudah layakkah kita memegang gelaran ‘khalifah Allah’ yang mempunyai tugas besar sebagai ejen perubahan dalam masyarakat? Kata orang kalau banyak sangat tanya dikatakan banyak ‘songeh’.

Semua soalan yang dilontarkan sebenarnya saya hendak kongsi mengenai kepentingan berfikir. 
Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Betapa mahalnya nilai berfikir dan kesan yang diperoleh jika betul cara berfikir kita, berbanding ibadat begitu saja. Berfikir sebenarnya adalah proses menyimpan, mengingat, menganalisis dan menyimpulkan berbagai-bagai maklumat yang ada di dalam dan luar diri kita sehingga menjadi idea dan akhirnya mendorong kita untuk bertindak.

Fikiranlah yang mengarahkan ke mana kita akan pergi dan bagaimana kita akan buat kerana dalam fikiran itu, seluruh keputusan, perencanaan serta konsep hidup ditentukan.

Malah, dengan pemikiran jugalah menjadi penentu dekatnya kita dengan Allah. 
Satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah wahai Anas sesungguhnya orang yang bodoh itu lebih banyak tertimpa musibah kerana kebodohannya daripada orang jahat yang berakal.

Sesungguhnya amat mudah seorang hamba mendekati Tuhannya dengan akalnya. Kata Napolean Hill: “If a man is right, his world will be right.”

Jadi, dalam kesibukan kita mencari kebahagiaan dunia, jangan lupa memberikan waktu untuk berfikir. Bahagikan masa kita kepada empat waktu iaitu: 

Waktu untuk bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.
Waktu untuk bermuhasabah mengenai dirinya.
Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
Waktu untuk menumpukan kepada keperluan seperti mencari makanan dan minum.

Oleh : Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

G e l a r a n . B a g i . S i . M a t i




Gelaran bagi si mati, seperti Allahyarham, Almarhum dan sebagainya, merupakan gelaran-gelaran yang sangat sinonim dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Terdapat juga beberapa gelaran lain yang kita gunakan ke atas para ulama', seperti asy-syahid, al-hafiz dan sebagainya..

01.Allahyarham vs Allahyarhamah
Merupakan sebaik-baik gelaran yang kita gunakan. Allahyarham bermaksud 'Allah merahmatinya', atau secara teknikalnya, 'mudah-mudahan Allah merahmati rohnya'.

Adapun gelaran 'Allahyarhamah', maka ia merupakan gelaran yang penulis dapati amat lucu sekali. Ini kerana perkataan Allahyarhamitu adalah kata kerja, maka mana mungkin kata kerja kita berikan sifat lelaki dan wanita?

Dengan mengatakan Allahyarhamah, samalah seperti kita mengatakan 'muhammad menulis', dan 'Aisyah menulisah'. Atau 'Ali pergi ke kedai', dan 'Fatimah pergiah ke kedai'.

02.Al-marhum
Merupakan gelaran yang tidak berapa sesuai kita gunakan ke atas si mati. Ini kerana, al-marhum bermaksud 'dia telah mendapatrahmat Allah', atau secara teknikalnya 'secara pasti Allah telah merahmatinya', sedangkan hak mutlak untuk merahmati atau menyeksa seseorang insan bukanlah hak kita.

Itu adalah hak Allah semata-mata, jika Dia hendak merahmatinya, Dia akan merahmatinya, dan jika Dia berkehendak untuk menyeksanya, Dia akan menyeksanya sebagaimana yang Dia Mahu. Kerana itu penulis katakan, gelaran Allahyarham adalah yang terbaik, kerana ini merupakan doa kita, 'mudah-mudahan Allah akan merahmatinya'.

Perlu diingatkan juga, gelaran ini merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh golongan ahli hadis. Adapun gelaran yang menunjukkan seseorang itu secara pasti mendapat rahmat, hanyalah gelaran yang kita guna pakai ke atas:
1) Para rasul 
2) Sahabat Rasulullah S.A.W. 

03.
Arwah
Seperti kita selalu gunakan, 'arwah aki', 'arwah atuk' dan sebagainya. Penulis ingin nyatakan di sini, bahawa perkataan arwah itu merupakan kata jama', atau plural bagi 'roh'. Maka bila kita katakan 'arwah aki', bermaksud 'roh-roh aki'. Jelas itu tidaklah bertepatan dengan maksud yang ingin kita gunakan.

04.Asy-Syahid
Gelaran yang kerap kita gunakan ke atas para ulama' yang kita anggap mati syahid di jalan Allah. Seperti penulis nyatakan di atas, gelaran yang berupa bentuk 'secara pasti' ini, di dalam ertikata ini, 'secara pasti dia telah mati syahid', merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh para ahli hadis.

Ini kerana, memang betul kita mengharapkan beliau mati syahid namun untuk mengatakan secara pasti dia mati syahid, itu bukanlah hak kita. Malah, itu adalah hak Allah semata-mata.

Walaupun pada mata kasar kita dia mati syahid, namun isi hatinya yang sebenar di saat kematiannya dan juga niatnya ketika mati merupakan pengetahuan Allah semata-mata, tiada seorang pun dalam kalangan makhluk-Nya yang mengetahui secara mutlak akan isi hati makhluk yang lain.

Menurut penulis, gelaran yang terbaik ialah Allahyarham, sama jugalah dalam kes tadi.

05. Rahimahullahu taa'la
Seperti selalu kita gunakan 'Imam Abu Hanifah rahimahullah', 'Imam Malik rahimahullah', dan seterusnya. Gelaran ini merupakan setaraf dengan Allahyarham, cuma didatangkan di dalam bentuk perkataan yang lain sedikit. Ertinya juga sama, iaitu 'Allah merahmatinya', atau teknikalnya 'mudah-mudahan Allah merahmatinya'.

06.Alaihis salaam
Merupakan gelaran khas bagi para Nabi dan Rasul, dan gelaran ini bermaksud 'kesejahteraan ke atasnya'. Ini merupakan peganganahli sunnah wal jamaah, apabila menyebut mana-mana Nabi dan Rasul, kita sertakan dengan ungkapan alaihissalam.

Adapun puak Syiah Imamiah akan menyebut perkataan ini setiap kali menyebut nama imam-imam mereka, seperti Ja'far As-Saadiq alaihissalaam dan sebagainya. Ini kerana, mereka menganggap imam-imam mereka bersifat maksum, yang mana pegangan ini bercanggah dengan al-Quran dan sunnah yang sahih.

07.Radiyallahu 'anhu
Gelaran yang khas kita gunakan kepada para sahabat baginda Rasulullah S.A.W. Gelaran ini bermaksud 'Allah telah redha kepada mereka (untuk mereka masuk Syurga)', atau dengan kata lain, syurga itu merupakan janji Allah kepada mereka, di atas keimanan dan pertolongan mereka ke atas Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W.

08.Al-Hafiz
Ini bukanlah gelaran yang digunakan bagi si mati, cuma penulis memasukkan di sini untuk menilai serba-sedikit konteks penggunaannya.

Dalam masyarakat kita, al-hafiz digunakan bagi mereka yang menghafal al-Quran secara keseluruhannya. Penggunaan ini tidaklah salah kerana dapat memberi kefahaman kepada orang ramai.

Tetapi hakikatnya, al-hafiz merupakan gelaran bagi mereka yang menghafal 300,000 hadis berserta sanadnya, seperti Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan lain-lain. Ini merupakan penggunaan gelaran al-hafiz yang tepat seperti terkandung di dalam buku-buku akademik.

Sesungguhnya gelaran-gelaran yang kita gunakan ini, mempunyai maksud-maksud yang tersendiri, yang mana jika kita lihat secara teliti, terdapat unsur aqidah di dalamnya.

Seperti juga di dalam penggunaan 'almarhum', berkait rapat dengan hak Allah, dan juga batas hak kita sebagai makhluk dalam menentukan siapakah yang mendapat rahmat, dan siapa pula yang mendapat azab seksa Allah.

Mudah-mudahan selepas ini, kita akan menggunakan gelaran yang berpatutan kepada si mati. Kerana gelaran yang patut itu, bukan sahaja sesuai dengan aqidah Muslim kita, malahan ianya juga merupakan doa yang baik bagi si mati, terutamanya mereka yang kita kasihi.

Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Oleh : Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...