Wednesday, January 26, 2011

Remeh temeh cerai



Di sebuah kampung terdapat sebuah pokok yang umurnya melebihi umur kampung tersebut. Semasa kampung tersebut di buka, pokok itu telah wujud dan penduduk menngambil keputusan untuk membiarkan sahaja sehinggakan ia menjadi semakin membesar.

Sejak kewujudannya sehingga kini, pokok tersebut tetap berdiri teguh dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan musnah walaupun seringkali di panah petir dan dilanda banjir besar beberapakali.

Sehinggalah pada suatu hari secara tiba-tiba pokok itu gegur ke bumi dengan sendirinya tanpa disebabkan punca-punca yang besar.

Penduduk tertanya-tanya mengapakah pokok itu boleh tumbang, sedangkan selama ini bermacam bencana yang menimpanya, tetapi ia tetap berdiri teguh dengan penuh bangga.

Setelah disiasat oleh beberapa orang penduduk, mereka mendapati pokok itu tumbang kerana disebabkan oleh sejenis serangga yang disebut kumbang yang telah memakan pokok tersebut secara perlahan-lahan sejak sekian lama tanpa disedari oleh penduduk di situ.

Kumbang-kumbang itu telah memakan bahagian pokok itu yang selama ini dibaluti oleh kulitnya yang keras itu.

Akhirnya, dalam masa yang singkat, pokok tersebut telah tumbang, tersembam ke bumi hanya kerana disebabkan kumbang-kumbang yang kecil saiznya.

Dalam sebuah hadis yang mahsyur, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Jauhilah dosa-dosa kecil kerana jika ia telah bertompok-tompok pada seseorang maka ia akan merosakkan orang itu “

Seorang hakim di Chicago bernama Dan Joseph Sabeth yang pernah menjadi penasihat perkahwinan telah berjaya membantu 40000 pasangan yang tidak bahagia mengatakan sebahagian besar ketidakbahagiaan dalam perkahwinan disebabkan oleh hal yang remeh-temeh atau perkara-perkara kecil.

Manakalah Frank S. Hogan, seorang penguasa daerah di New York Country mengatakan sebahagian kes-kes yang telah dilaporkan ke jabatannya berkaitan hal-hal yang kecil saja seperti pertengkaran antara anggota keluarga, atau kerana disebabkan selisih faham sehingga menyebabkan saling menghina antara satu sama lain, atau kerana tersinggung, atau kerana terkesan disebabkan isyarat-isyarat badan.

Dan perkara-perkara kecil seperti di atas tadilah telah membawa kepada beberapa kes besar seperti pergaduhan dan pembunuhan.

Di negara kita sendiri apa kurangnya. Sama seperti di Barat yang mana saban hari di dada-dada akhbar dan seperti yang dilaporkan dalam berita di televisyen tentang pergaduhan dan pembunuhan yang hanya bermula dengan hal yang kecil dan kadangkala tidak masuk dek akal.

Misalannya, bergaduh sehingga berbunuhan kerana masalah perselisihan pendapat. Bila mula berbeza pendapat, masing-masing mula menghina antara satu sama lain, dan akhirnya menyebabkan kepada pergaduhan yang penamatnya menyebabkan salah seorang daripada mereka terkorban.

Ini bukan cerita dongeng, tetapi inilah realiti yang sedang melanda masyarakat di negara kita.

Mari kita fikirkan bersama, mengapa semua ini berlaku. Dari hal-hal yang kecil dan remeh-temeh, akhirnya ia menjadi masalah besar dan membinasakan.

Jawapannya mudah sahaja, ini semua berlaku kerana kita sering memperbesarkan hal-hal yang kecil sehingga menjadi besar dan seterusnya memusnahkan diri kita sendiri. Contoh-contoh di atas menunjukkan kepada kita betapa hal yang kecil dan temeh-temeh telah menyebabkan banyak perkara besar telah berlaku.

Hal-hal kecil dan remeh temeh ini perlulah kita tangani dengan berkesan agar ia tidak menguasai diri kita.

Misalnya dalam rumahtangga, pasangan suami isteri haruslah pandai menilai sesuatu isu yang berlaku dalam rumahtangga mereka. Jangan biarkan hal-hal yang remeh temeh membelenggu kerukunan rumahtangga mereka.

Misalnya seorang suami merasa sakit hati kerana isterinya suka tidur berdengkur. Hampir setiap malam tidurnya terganggu kerana bunyi-bunyian yang keluar dari rongga mulut dan hidung isterinya.

Dalam hal ini, sebelum situasi menjadi semakin rumit disebabkan hal yang begitu remeh, si suami perlulah menilai hadis ini yang berbunyi :

“Janganlah seorang suami mukmin membenci isterinya yang mukminah, jika ia tidak menyukai salah satu sifat isterinya, tentu ada satu sifat lain yang akan menyenangkannya” ( Muslim ).

Ya, si suami jangan biarkan satu sifat yang buruk pada pandangannya itu untuk menafikan lain-lain sifat yang baik pada diri si isteri. Bertenang sekejap, fikirkan secara perlahan-lahan apakah kebaik-kebaikkan si isteri padanya.

Masakan tiada bukan. Pasti ada dan jangan menafikannya. Jangan biarkan ego seorang suami menguasai diri anda. Dari sepuluh sifat si isteri misalnya, masakan tiada satupun yang baik pada pandangan mata anda.

Dia basuh pakaian anda, masakkan makanan yang lazat-lazat untuk anda, mengemas rumah setiap hari walaupun penat bekerja dan bermacam-macam lagi yang lakukan si dia untuk anda.

Kenapa hanya satu masalah yang kecil, menyebabkan mata anda tertutup untuk melihat perkara yang lebih besar. Fikirkanlah bagaimana Saidina Umar menilai pengorbanan isterinya dengan mendiamkan dirinya ketika dia dibebeli isterinya.

Lemahkah Umar?

Tidak, dia pahlawan hebat, bukan sahaja manusia yang takutkannya, malah syaitan juga melarikan diri bila bertembung dengannya. Dia juga sahabat Nabi yang yang mulia dan dijamin syurga.

Tetapi mengapa dia bertindak begitu?

Tidak lain tidak bukan kerana dia menghargai isterinya dan menerima kelemahan yang ada pada isterinya.

Pada suami di luar sana, anda bagaimana?

Fikir-fikirkanlah.

Apa jalan penyelesaiannya?

Mudah sahaja jalannya, bersihkan jiwa dan bukalah minda kita dengan seluas-luasnya agar kita dapat melihat sesuatu isu dan perkara itu dengan lebih tenang, matang dan menurut pandangan akal yang berlandaskan Islam dan sunnah Nabi.

Jangan biarkan fikiran kita terus dikuasai hal-hal yang remeh-temeh sehingga menjadikan minda kita tertutup rapat dan sentiasa menilai sesuatu perkara dan isu itu dengan nilaian yang negatif yang hanya bersandarkan kepada tanggapan semata-mata dan nafsu yang sering memandu kita ke arah kejahatan yang akhirnya akan membinasakan diri kita sendiri.

Ingat, syaitan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan anak adam kerana itu janjinya hingga kiamat kelak. Akhir bicara, bersabarlah dengan setiap apa yang telah Tuhan tentukan buat kita.

Nasib anda beradadi tangan anda sendiri. Hanya anda yang mampu mengubahnya dengan izin Allah.

Selamat berubah kepada Kehidupan Baru

Wallahua’lam

Saturday, January 22, 2011

Hentikan Mengumpat


SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat.
Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang. 
Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah.
Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud:
Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim) 
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. 
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. 
Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat. 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. 
(riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban) 
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. 
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud) 
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. 
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: 
"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". 
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. 
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. 
Maka, dia berkata kepada Allah:
"Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". 
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.
Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.
Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.

Dalam hati Ada Titik Ais



Dalam sebuah syarikat pengangkutan kargo menggunakan kereta api ada seorang pegawai, bernama Nik. Dia sangat rajin bekerja, dan sangat bertanggung jawab. Tetapi dia mempunyai satu kekurangan, iaitu dia merasakan tidak mempunyai harapan apapun terhadap kehidupannya. Dia melihat dunia ini dengan pandangan kelam tanpa harapan langsung.

Pada suatu hari semua kawan-kawan sekerjanya bergegas untuk merayakan hari ulang tahun kelahiran bos mereka. Mereka semua pergi dengan cepat dan tergesa-gesa. Dengan tidak sengaja Nik yang sedang bekerja terkunci di sebuah bilik sejuk kontena pengangkutan ais yang belum sempat dibetulkan. Nik menjerit, memukul pintu dengan kuat sambil meminta tolong, namun hampa kerana kesemua rakannya sudah pun pergi merayakan ulang tahun kelahiran bosnya. Maka tidak ada yang mendengar jeritan pertolongannya.

Tangannya sudah merah dan bengkak-bengkak memukul pintu itu, suaranya sudah serak akibat menjerit kuat, tetapi tetap tidak ada orang yang mempedulikannya. Akhirnya dia terduduk di dalam sambil menghelakan nafas yang panjang.

Semakin dia berfikir semakin dia merasa takut, dalam hatinya berkata: Dalam kontena sejuk pengangkut ais suhunya pasti di bawah 0 darjah, kalau dia tidak segera keluar dari situ, pasti akan mati kesejukan. Dia memaksakan diri dengan tangan yang gementar kesejukan, mencari secarik kertas dan sebatang pen, menuliskan surat wasiatnya.

Keesokan harinya, semua petugas pun datang bekerja. Apabila mereka membuka pintu bilik sejuk dalam kontena pengangkut ais tersebut, mereka sangat terkejut menemui Nik yang terbaring di dalam. Mereka segera menghantar Nik ke hospital untuk rawatan, tetapi malangnya Nik sudah tidak bernyawa lagi. Tetapi yang paling mereka terkejut adalah, bekalan elektrik ke bilik sejuk untuk menghidupkan mesin itu tidak dibuka, dan dalam bilik kontena yang besar itu cukup oksigen di dalamnya. Dan yang paling menghairankan mereka adalah suhu dalam bilik itu 28 darjah C saja. Tetapi Nik mati "kesejukan"!

Nik bukanlah mati kerana suhu dalam kontena terlalu rendah tetapi dia mati kerana ada titik ais di dalam hatinya. Dia sudah menghukum dirinya dengan hukuman mati. Bagaimana dia dapat hidup terus?

Percaya pada diri sendiri adalah sebuah perasaan hati. Orang yang mempunyai rasa percayaan diri tidak akan terus putus asa, dia tidak akan terus berubah sedih terhadap keadaan hidupnya yang jalan kurang lancar dan berjaya.

Tanyalah pada diri kita sendiri, adakah diri kita juga selalu memutuskan bahawa kita tidak mampu untuk melakukan suatu perkara, sehingga kita kehilangan banyak kesempatan untuk berjaya? Kehilangan banyak kesempatan untuk belajar berdikari? Untuk jadi lebih mengerti tentang kehidupan ini?

Yang mempengaruhi semangat kita bukanlah faktor-faktor dari luar, melainkan dalam hati kita sendiri. Sebelum berusaha, kita sudah dikalahkan oleh diri kita sendiri. Biarpun ada banyak bantuan yang diberikan kepada diri kita, ia tetap tidak akan membantu jika kita berfikiran negatif setiap masa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...