Monday, October 18, 2010

101 Petua

Menghindari Penyakit
Makan sedikit garam kemudian minum segelas air suam pada waktu pagi. Selain dapat menghindari penyakit, ia juga dapat membersihkan jantung dan paru-paru.
Menahan Nafas
Menahan nafas ketika minum air dapat mengekalkan kesihatan badan.
Memulihkan Sakit Jantung
Rebus beberapa tangkai bunga betik jantan bersama air dan sedikit gula. Minumlah air rebusan tersebut sehari dua kali pada waktu pagi dan malam.
Menghindarkan Sakit Jantung
Elakkan tidur pada waktu siang. Lakukan senaman sekurang-kurangnya 15 minit sehari.
  1. Masukan sedikit garam ke dalam air suam. Rendamkan kaki ke dalamnya selama 15 minit. Lakukan 3 kali seminggu.
  2. Rebus ayam muda dengan kacang merah sehingga mendidih. Setelah sejuk, minum air tersebut. Amalkan meminumnya selama dua minggu.
  3. Ambil satu sudu cuka makan, taungkan sedikit pada tapak tangan. Gosokkan pada bahagian yang sakit. Biarkan selama setengah jam. Kemudian bersihkan dan mandi seperti biasa.
Luka Bersalin
Bagi ibu-ibu yang baru bersalin, petua untuk menyembuhkan luka dengan cepat seperti berikut :-
  1. Rebus segenggam daun jambu batu muda sehingga mendidih. Apabila suam, gunakan air ini untuk mencuci di bahagian sulit. Lakukan dua atau tiga kali sehari hingga luka sembuh.
  2. Ikan haruan dipotong dan dicuci bersih. Rebus bersama halia, beberapa biji lada hitam dan sedikit garam. Makan bersama nasi atau dibuat sup.
  3. Rebus gamat dengan air yang banyak hingga mendidih. Sejukkan dan minum airnya atau sapukan di tempat yang luka.
  4. Campurkan biji kani, halia, akar kayu dengan air. Rebus kesemua bahan tadi sehingga mendidih. Dalam keadaan masih panas(suam), minum air rebusan tersebut. Amalkan setiap hari.
  5. Minumlah air rebusan daun pegaga setiap hari. Selain daripada direbus, daun pegaga juga boleh dibuat ulam. Makanlah bersama garam dan lada hitam yang ditumbuk halus.
Membanyakkan Air Susu Badan Selepas Bersalin
Jika anda mengalami masalah kekurangan air susu badan terutama selepas bersalin, amalkan petua ini:-
  1. Sapukan sedikit minyak kelapa pada daun sirih. Kemudian layurkan pada api sehingga layu. Setelah suam, tekapkan pada buah dada. Lakukan setaip hari.
  2. Rebus beberapa helai daun betik yang sederhana muda. Air rebusan tersebut hendaklah diminum dua hingga tiga kali sehari.
  3. Parut lobak putih dan kisar hingga halus. Campurkan dengan satu gelas air suam. Minum dua kali sehari.
  4. Rebus jantung pisang dan makan sebagai ulam dengan nasi.
Telinga Dimasuki Air
Jika telinga kiri anda dimasuki air, mengiringlah ke sebelah kiri. Lakukan juga seperti ini sekiranya telinga kanan anda dimasuki air.
Mengelakkan Kelesuan Ketika Haid
Cara untuk mengatasinya ialah :-
  • Rebus sedikit ketumbar, kunyit hidup, asam jawa dan sedikit gula merah. Biarkan mendidih.
  • Setelah sejuk, minumlah dua kali sehari.
Memerahkan Bibir
  1. Sapukan hampas halia yang telah ditumbuk pada bibir perlahan-lahan setiap hari.
  2. Ambil sedikit ubat gigi dan sapukan pada bibir setiap malam sebelum tidur.
Rawatan Anak Demam Panas
Ramaskan hingga keluar lendir, lima helai daun bunga raya, dua helai daun rambutan dan sedikit daun jambu batu dengan sedikit air. Sapukan pada dahi dan rambut anak.
Demam Panas
Ramas semangkuk asam jawa dengan beberapa kuntum bunga raya. Selawat sebanyak tiga kali kemudian sapukan ke kepala dan seluruh badan. Biarkan seharian.
Apabila Terkena Air Panas
Gosok perlahan-lahan bahagian yang melecur dengan air sabun mandi. Lakukan sehingga bahagian yang melecur tidak sakit lagi.
Bawang Putih Bunuh Kutu
Tumbuk tiga atau empat ulas bawang putih hingga lumat. Gaul dengan tiga sudu minyak kelapa. Lumurkan pada rambut rata-rata dan biarkan selama 15 minit. Kemudian sikat dengan penyikat kutu.
Bengkak Akibat Terjatuh
Campurkan asam jawa, garam dengan sedikit air. Sapukan ke tempat yang benjol atau bengkak. Dalam masa beberapa minit bengkak akan menjadi susut.
Batuk
Batuk akan menyebabkan rasa sakit di perut dan gatal-gatal di kerongkong. Cubalah mengikut petua ini:
  1. Ambil sedikit kerak nasi dan rendamkan dalam air suam. Apabila kerak nasi kembang, minum airnya. Amalkan setiap pagi.
  2. Rebus beberapa biji buah pisang masak. Setelah lembik campurkan santan secukupnya serta sedikit garam dan perasa vanila. Setelah 20 minit, makanlah makanan tadi dengan mencampurkan sedikit gula. Selain anda mendapat kenikmatan suara anda semakin pulih.
  3. Tumbuk segenggam daun pegaga, hingga lumat dan tapis untuk mendapatkan airnya yang pekat. Campurkan dengan gula dan embunkan selama satu malam. Minum dua kali seminggu.
  4. Campurkan dua sudu teh madu lebah (pastikan ianya asli) dengan air suam. Kacau sehingga sebati. Kemudian minum tiga kali sehari.
Sakit Angin
Jika anda terkena senak perut dan selalu sendawa angin minumlah air rebusan ini :-
  1. Rebus empat atau lima tangkai cili kering (tangkainya sahaja), dua ulas bawang putih bersama tiga cawan air. Campurkan sedikit halia bersama rebusan tersebut. Minumlah beberapa kali.
  2. Amalkan meminum air rebusan daun mengkudu dan halia.
  1. Kisar satu batang lobak merah, ibu kunyit sebesar jari dan setengah gelas air. Tapis dan campurkan dengan kuning telur ayam kampung. Setelah itu campurkan pula gula batu dan satu sudu makan madu. Minum tiga kali seminggu.
  2. Makan sebiji telur ayam kampung dengan madu setiap hari. Kemudian diikuti dengan meminum akar kayu.
Mengubati Sakit Mulut
Anak anda mengalami sakit mulut. Rawatilah dengan cara berikut.
  • Masak santan dari sebiji kelapa dengan satu cawan air.
  • Bila hampir menjadi minyak, masukkan dua atau tiga tangkai daun pucuk manis sehingga warnanya putih.
  • Angkat dan sejukkan. Sapukan dalam mulut anak anda.
  1. Sapukan getah pokok sena yang berwarna merah ke tempat yang pecah. Dalam masa dua hari, luka akan sembuh.
  2. Sapukan garam atau marjerin cair pada tempat yang sakit. Rasanya agak pedih sedikit.
Cairkan Lendir di Tekak
Makan anggur tiga kali seminggu untuk mencairkan lendir di tekak.
Daun Pucuk manis Ubat Pitam
Ramas sedikit pucuk manis dengan air. Embunkan semalaman. Pada keesokkan paginya, lumurkan di kepala. Lakukan beberapa kali.
Daun Sirih Ubat Kembung Perut
Kebiasaannya bayi berusia enam bulan ke atas mengalami kembung perut, cara yang paling mudah mengubatinya ialah : Layurkan dua helai daun sirih. Setelah itu barutkan pada perut bayi.
  1. Jika anda sering diserang sakit kepala, selain makan ubat amalkan petua ini :
    • Ramas beberapa helai daun sirih di dalam mangkuk yang berisi air.
    • Kemudian basahkan kepala dengan air dan daun sirih tersebut sambil memicit-micit kepala selama 15 minit.
  2. Tumbuk enam helai daun sawi hingga lumat. Campurkan dengan sedikit garam, lumurkan serta gosokkan perlahan-lahan pada dahi dan pelipis.
  3. Ramas asam jawa sebesar telur ayam dengan secawan santan lalu tapis. Kemudian basahkan kepala dengan air suam lalu bungkus. Biarkan seketika dan kering di kepala, barulah basuh bersih. Rasa sakit akan berkurangan dan rambut jadi lembut.
  4. Tumbuk dua atau tiga helai daun setawar hingga lumat. Kemudian tempekkan di kepala dan balutkan. Biarkan semalaman.
  5. Rebus beberapa biji kulit manggis dengan tiga gelas air. Biarkan sehingga airnya tinggal satu gelas sahaja. Tapis dan buangkan hampasnya. Berkumur setiap hari tapi jangan sampai terminum pula airnya.
Menambahkan Darah
Cara-cara untuk menambahkan darah (yang hilang) dalam badan anda ialah :
  1. Bersihkan dan tumbuk akar bayam duri. Campurkan air dan perah serta tapis. Kemudian campurkan lagi dengan kuning telur, madu dan segelas santan. Masukkan sedikit garam kemudian kacau. Amalkan meminumnya setiap pagi sebelum makan selama 10 hari berturut-turut. Sekiranya anda sering buang air atau sakit perut, hentikan dahulu dan ulangi meminumnya sehingga sakit perut hilang.
  2. Amalkan memakan sayur bayam merah yang direbus.
Mengurangkan Tekanan
Ubat untuk anda mengurangkan tekanan ialah dengan mengambil air kelapa muda. Campurkan dengan air perahan limau nipis. Minum dengan satu nafas sahaja.
Memulihkan Rasa Gatal di Kemaluan
Rebus beberapa helai daun sirih dan daun inai. Biarkan sehingga mendidih dan warna air berubah menjadi kekuningan. Tunggu hingga suam kemudian gunakan untuk membasuh kemaluan setiap kali anda kencing atau rasa kurang selesa.
Penawar Batu Karang
Didihkan sebatang pokok matahari bersama akarnya. Biarkan sehingga airnya tinggal kira-kira satu gelas. Setelah sejuk, tapis dan minum seperti air teh dan ulangi sehingga beberapa hari.
Anak-anak Demam Berlarutan
Ramaskan beberapa helai daun pucuk bunga raya dan bawang. Lumurkan keseluruh kepala terutama ubun-ubun kepala. Ulangi beberapa kali.
Elak Keracunan Udang atau Ketam
Sebelum memasak, rebus dahulu udang/ketam dengan sedikit arang kayu. Biarkan selama lima minit. Kemudian masaklah mengikut kesukaan anda.
Mententeramkan Jiwa
Cara untuk mententeramkan jiwa ialah dengan membaca al-Quran sekurang-kurangnya sekali sehari pada waktu malam atau pagi.
Gusi Berdarah
Terdapat dua cara di sini untuk merawati gusi berdarah :
  1. Ambil segelas air suam. Campur dengan setengah sudu teh garam. Kemudian berkumur. Lakukan setiap kali bangun tidur selama tiga hari berturut-turut. Insya-Allah gusi tidak berdarah lagi.
  2. Rebus dua helai daun bacang dan daun inai dalam periuk. Apabila mengelegak, campurkan sedikit asam gelugur dan garam. Biarkan seketika. Apabila suam berkumurlah. Amalkan setiap pagi dan malam
Bibir Pecah Akibat Kepanasan
Campurkan segelas air kelapa muda dan sebiji telur ayam kampung. Kacau sehingga rata. Selepas itu, minumlah ketika cuaca panas.
Hentikan Muntah
Muntah biasanya terjadi akibat salah makan. Ini akan menyebabkan badan penat dan terasa sakit. Langkah yang sebaik-baiknya ialah mengambil buah pelaga yang ditumbuk halus dan dicampurkan dengan air panas. Berikan kepada yang sedang muntah untuk diminum.
  1. Jangan basuh bahagian yang pijar. Sapukan dengan minyak kelapa. Biarkan seketika. Pijar pasti hilang.
  2. Ambil seuncang daun teh yang belum digunakan dan rendamkan di dalam air batu buat seketika. Kemudian tekapkan pada bahagian yang terasa pijar. Rendamkan berulangkali agar uncang teh itu terasa sejuk.
Jadam Legakan Bengkak
Campurkan sedikit jadam sebesar ibu jari kaki ke dalam air perahan sebiji limau nipis. Panaskan sehingga jadam itu cair. Kemudian sapukan pada bahagian bengkak dan balut dengan daun pisang atau kertas plastik. Biarkan semalaman.
  1. Sapukan getah betik ke tempat yang tertusuk duri tersebut. Insya-Allah pada pagi esoknya sakit akan sembuh dan duri akan keluar dengan sendirinya.
  2. Celupkan sebiji bawang merah ke dalam sedikit minyak masak. Kemudian bakar hingga hangus. Tampalkan di tempat yang kena duri tersebut.
Ruam
Bayi yang baru lahir biasanya mudah diserang ruam panas. Untuk menyembuhkan ruam panas ini, gunakan kanji nasi . Caranya ialah :-
  1. Masak nasi hingga menjadi bubur. Kemudian ambil sedikit dan letakkan ke dalam kain jarang. Ikat dan picit hingga keluar kanjinya. Air kanji ini akan disapukan pada ruam panas.
  2. Tumbuk ragi yang sederhana besar. Selepas itu diayak. Kemudian campurkan dengan bedak. Sapukan pada kulit bayi.
  3. Satukan sedikit tepung ubi atau sagu ubi hingga sebati.Sapukan pada kulit yang dipenuhi ruam. Ulangi beberapa kali sehingga ruam itu sembuh.
Penawar Bisul
  1. Ambil sedikit kapur makan dan sapukan di tempat yang ditumbuhi bisul. Lakukan selalu, Insya-Allah ia akan hilang dan sembuh
  2. Tumbuk bawang putih hingga hancur.Sapukan bawang putih ditempat yang kena bisul dan balutkan supaya bawang putih tidak jatuh. Lakukan beberapa kali hingga bisul itu hilang.
  3. Tumbuk beberapa tangkai pucuk daun semalu hingga lumat.Tampalkan pada keliling bisul. Biarkan sehingga ia kering. Amalkan selalu sehingga bisul itu sembuh.
  4. Rendam segenggam beras dan beberapa ketul kunyit hidup dengan air sejuk. Kemudian tumbuk hingga hancur. Letakkan pada bisul sehingga ia kering.
  5. Asah kulit buah delima yang basah. Campurkan dengan daun lidah buaya. Sapukan pada permukaan bisul.
Mencantikkan Kulit Bayi
Campurkan tiga suku tepung kanji dengan air suam. Kacau kemudian mandikan bayi. terus lapkan badan bayi tanpa bilasan air lain.
  1. Ambil abu ubat nyamuk. Bancuhkan dengan air. sapukan pada ketuat setiap hari. Dalam beberapa hari ketuat akan hilang. Insya-Allah.
  2. Sapukan sedikit kapur masak pada bahagian yang ditumbuhi ketuat. Biarkan ia kering beberapa minit sehingga ketuat itu tanggal dengan sendirinya tanpa rasa sakit, pedih, juga tidak meninggalkan parut yang hodoh.
Menghilangkan Rasa Lenguh dan Letih
  1. Buah anggur basah jika dimakan selalu dapat menghilangkan rasa lenguh dan letih.
  2. Gosokkan dua daun sirih yang agak muda pada tapak tangan hingga mengeluarkan air. Sapukan pada bahagian yang lenguh. Lakukan sekerap yang mungkin sehingga hilang lenguh-lenguh tersebut.
Mengubat Kaki Terseliuh
Tumbuk kunyit dan panaskan bersama minyak. Sapukan pada tempat yang sakit. Kemudian balutkan dengan daun tembaga suasa.
Kurangkan Bercakap
Banyak bercakap boleh menyebabkan didatangi penyakit.
Kurangkan Panas Badan Anak
Campurkan dua ulas bawang jantan dengan satu sudu cuka. Jaramkan di kepala anak anda.
  1. Ramas asam jawa dengan segelas air panas. Kemudian campurkan satu sudu gula merah ke dalam air asam jawa. Minum dan bawa berehat.
  2. Tumbuk secekak daun bunga raya hingga lumat. Bancuh dengan segelas air. tapis dan minum setiap hari.
  3. Campurkan isi kelapa muda dengan air limau nipis. Minum dua kali sehari. Amalkan selalu.
  4. Amalkan memakan belimbing besi setiap hari.
Mabuk Kenderaan
  1. Minum tiga sudu besar madu lebah asli yang dicampurkan dengan sedikit garam sebelum memulakan perjalanan.
  2. Kupas ubi keledek yang berwarna kuning. Makan mentah-mentah apabila terasa loya semasa dalam perjalanan.
Mandul
Cubalah untuk mengatasi kemandulan dengan berusaha makan taugeh mentah dan rojak nanas seminggu sekali. Lakukan sehingga sekitar lima bulan.
  1. Makan sekuntum bunga siantan (menjarum) bersama dengan daun sirih. Sebagai ulam pula, makanlah kuntum bunga inai putih. Amalkan setiap hari.
  2. Rendamkan lima tangkai bunga cempaka dalam air panas. Tutup dan biarkan semalaman. Minum airnya setiap hari di waktu pagi dan petang. Bunga itu boleh direndamkan berulang-ulang hingga rasa pahitnya hilang.
  3. Rebus secekak daun pegaga dengan akarnya sekali.Campurkan sedikit garam. Minum dua kali sehari sehingga sembuh.
Merawat Lebam Akibat Tercedera
Tumbuk hingga halus bawang merah, bawang putih dan daun jambu batu mengikut sukatan yang tertentu. Setelah itu tempekkan pada bahagian yang lebam dan balutkan dengan kain yang bersih. Biarkan lebih kurang 2 jam.
  1. Jika anda mengalami cirit-birit untuk melegakan dengan cepat, ambil satu cawan teh o pekat kemudian diminum.
  2. Hancurkan beberapa helai daun ketumbit hingga lumat. Tempelkan pada perut dan balutkan dengan kain
  3. Kunyah daun jambu batu dan buah jambu batu yang masih muda dan kecil. Amalkan selagi anda mengalami cirit-birit.
Sukar Buang Air Besar
Kupas kentang lalu dihiris. Tempelkan hirisan tersebut pada bahagian pinggang dan dubur anda. Biarkan hingga warna kentang menjadi kelabu atau kering, berbeza dari warna asalnya.
Bayi Sukar Buang Air Besar
Ramas beberapa helai daun keledek. Ambil lendir tersebut dan sapukan pada perut bayi. Biarkan ia kering. Lakukan dua atau tiga kali sehari
Melegakan Sakit Akibat Terkepit
Parut kelapa muda campur dengan cuka makan. Balut pada tempat yang sakit. Ulangi beberapa kali. Sakit lebam tersebut akan berkurangan.
Melegakan Tekak Perit
Rendamkan sebiji buah kembang semangkuk dan rendamkan ke dalam sebuah mangkuk. Biarkan seketika. Kemudian minum airnya.
  1. Jika anda ingin menajamkan penglihatan, satu tindakan yang baik ialah dengan kerap memandang sesuatu yang hijau.
  2. Salah satu petua ialah memandang wajah orang yang kita sayangi seperti wajah ibu, suami, anak-anak dan saudara sejenis dan elakkan memakan benda yang manis.
  3. Bercelak ketika hendak tidur.
  4. Kerap duduk mengadap kiblat.
  5. Makan lobak putih selalu.
Bengkak Pipi Akibat Sakit Gigi
Tumbuk lumat segenggam daun bunga raya. Letakkan pada pipi yang bengkak. Biarkan sehingga sakit gigi lega.
Mencegah Penyakit Buasir
Melakukan senaman pada setiap pagi hari sebelum berjalan. Angkat kedua belah kaki anda ke atas dan kedua tangan anda di bawah punggung kedua-duanya. Kemudian tahan nafas ketika naik kaki ke atas dan lepaskan nafas ketika anda turunkan kaki. Kemudian ulangi tiga kali setiap hari. Mudah-mudahan sembuh.
Jika Terminum Racun
Minum air kelapa sebanyak yang boleh, kemudian segeralah dapatkan rawatan selanjutnya dari doktor.
Mengelakkan Kepedihan Ketika Mengupas Bawang
Mengupas bawang kadangkala memedihkan mata. Untuk mengelakkannya, rendamkan bawang tersebut terlebih dahulu. Kemudian barulah dikupas kulitnya.
Mengatasi Mual Ketika Mengandung
Jangan minum air lain setiap hari kecuali air suam.
Mengemukkan Anak-anak Yang Kurus
Jika anak anda kurus, cubalah rawatinya dengan memberi air beras yang mendidih. Amalkan memberi minuman ini selama seminggu.
Menghidap Barah Rahim
Untuk mengubati barah rahim, rebus dan minum air benalu teh yang tumbuh di dataran tinggi (750 meter dari aras laut). Amalkan selama tiga bulan.
Menghilangkan Rasa Gatal di Tekak
Perah tiga atau empat biji limau kasturi. Campurkan dengan sebiji garam jantan, minum tiga kali sehari.
Menghilangkan Angin
Caranya ialah dengan merebus buah mata kucing bersama halia dan gula melaka (ikut cita rasa anda). Apabila suam, minumlah airnya setiap hari. Lebih elok diminum selepas makan nasi.
Menghilangkan Kesan Gigitan Nyamuk
Bagi menghilangkan kesan daripada gigitan nyamuk dan menghilangkan gatal-gatal pada kulit, campurkan garam dan air, jangan biarkan garam itu terlarut. Kemudian sental garam tadi di bahagian yang kena gigitan. Selepas itu, anda tidak akan terasa gatal-gatal lagi dan kesan gigitan juga hilang.
  1. Cara pertama : sapukan tempat tadi dengan minyak zaitun. Insya-allah kulit tidak akan melecur dan tidak akan meninggalkan kesan.
  2. Parut beberapa biji bawang merah. Tampalkan pada bahagian yang terkena minyak panas. Kemudian dibalut dengan kain bersih. Biarkan beberapa hari barulah pembalut itu dibuka.
  3. Masak lemak ayam dengan api yang sederhana. Sejukkan dan simpan dalam botol. Apabila terkena minyak panas, sapukan lemak tersebut.
Mengubati Senggugut
  1. Minum air rebusan rumpun jarum emas atau rumput rempah padang atau rumput cengkih padang semasa kedatangan haid atau sebelumnya.
  2. Tumbuk secekak daun cili padi, tujuh biji jintan manis hingga lumat. Campurkan dengan dua sudu besar air masak. Perah dan tapis. Amalkan meminumnya tiga kali sehari selama tiga hari.
  3. Lenyek nasi sehingga lumat. Selepas itu campurkan dengan garam jantan atau garam biasa sehingga sekata. Gentelkan sebesar ibu jari dan embunkan semalaman. Makan pada pagi esoknya. Tidak perlu dikunyah. Lakukan selama tiga malam.
  4. Campurkan sedikit gula melaka dengan air kelapa. Sewaktu didatangi haid, minum dua kali sehari dalam masa tiga hari.
Menyedapkan Suara
Jika suara anda mengalami gangguan, rawatilah dengan menyediakan secawan air pada waktu malam. Biarkan semalaman dan kemudian apabila bangun pagi, minum air tersebut tanpa perlu membasuh muka dahulu.
Merawat Hidung Berdarah
Layurkan sehelai daun sirih. Gulungkan menjadi kecil dan sumbatkan pada hidung yang berdarah. Pada waktu yang sama, ambillah ketulan ais lalu dibungkus ke dalam kain atau tuala. Kemudian letakkan di atas dahi.
Menyegarkan Badan>
Mandi haid, selain dari mandi dengan air biasa, elok juga mandi dengan air yang telah diramas daun bidara untuk kesegaran badan. Caranya :
  • Sebelum mandi, mestilah berwudhuk dengan sebaiknya.
  • Sesudah mandi, sediakan perca kain atau kapas yang sudah diwangikan dengan minyak wangi atau kasturi.
  • Lalu digosokkan di dinding kemaluan.
Merawat Luka
  1. Kunyah daun rumput atau daun senduduk sehingga lumat. Kemudian tempekkan pada luka tersebut. Darah akan cepat berhenti dan tidak akan keluar lagi.
  2. Parut anggaran 6 sm halia bersama sebiji bawang besar, dan campurkan dengan sedikit garam halus. Letakkan pada luka dan balutkan dengan kain bersih. Memang agak pedih sedikit tetapi hasilnya akan memuaskan.
  3. Lap dahulu bahagian yang terluka dengan kain basah. Ambil sebatang kulit kayu manis dan tumbuk sehingga lumat. Campurkan setitik madu lebah. Sapukan pada bahagian yang luka.
  4. Ramas segenggam daun turi. Setelah itu gosokkan pada bahagian yang luka. Lakukan beberapa kali sehingga kesan luka hilang.
  5. Apabila luka akibat terkena pisau dan mengalami pendarahan yang lama, siramkan sedikit minyak tanah pada luka. Darah akan terhenti dan tidak akan terasa pedih lagi.
Cengkam Kuku Yang Bernanah
Gunting cili di bahagian hujung cili kering. Kemudian salaikan pada api dalam tempoh lebih kurang lima saat, jangan sampai hangus. Selepas itu titiskan minyak perlahan-lahan ke bahagian kuku yang bengkak. Anda akan terasa panas dan sakit sedikit, tetapi hanya sebentar dan akan kembali seperti sediakala.
Sakit Kuning
Hiris nipis-nipis sedikit rebung. Kemudian rebus sehingga mendidih. Amalkan meminum air rebusan tersebut. Ulangi sehingga sembuh.
Hindari Bayi Dari Penyakit Kuning
Kadangkala bayi yang bbaru dilahirkan kelihatan kekuningan. Rebus daun bunga raya dan daun sirih dengan air kelapa. Kemudian mandikan pada bayi.
Kanak -kanak Sesak Nafas
Siang belut seperti ikan dan digoreng tanpa dibuang kulitnya. Berikan pada kanak-kanak yang mengalami sesak nafas.
Sesak Nafas
Campurkan satu biji telur ayam kampung dengan satu sudu kecil serbuk kopi. Parut dua biji bawang merah. Campurkan semua bahan tadi dengan satu liter air, kemudian minum setiap pagi sebelum sarapan.
Berkudis
Cara untuk menyembuhkan anda yang berkudis ialah dengan menumbuk daun inai dan kemudian tempekkan pada luka atau kudis tersebut.
Senang Bersalin
Supaya mudah bersalin, telanlah sebiji telur ayam kampung mentah setiap pagi seminggu sebelum waktu untuk melahirkan anak.
  1. Ambil secawan air didihan beras (sewaktu mendidih). Biarkan suam barulah diminum. Amalkan selalu sehingga rasa gatal atau kering pada tekak itu sembuh.
  2. Letakkan sedikit kapur sirih, dua titik minyak kayu putih di atas sehiris limau. Panggang dan perah airnya. Kemudian minum sekali sehari.
  3. Selesema pada musin hujan atau panas terik boleh diubati dengan cara membasahkan ubun-ubun kepala. Ulangi beberapa kali.
  4. Mandilah dengan air suam pada waktu petang dan elakkan mandi malam. Amalkan minum air halia seminggu sekali
Bayi Selesema
Sapukan sedikit minyak kelapa pada hidung bayi. Biarkan kering. Jika tidak sembuh, dapatkan rawatan selanjutnya dari pakar/doktor.
Bengkak Kaki Waktu Hamil
Bersihkan taugeh besar, buang semua batangnya.Rebus di dalam kuali. Masukkan satu gelas air ke dalamnya. Apabila telah suam, minum airnya. Ulangi sehingga bengkak tersebut surut.
Resdung
Hiris tiga biji bawang merah. Ambil dua helai daun sirih dan secubit biji sawi. Masukkan ke dalam bekas bersama air mendidih. Kemudian wapkan ke muka anda. Amalkan selalu.
Suami Ketagih Rokok
Bantu suami berhenti menghisap rokok dengan memberikan tasbih. Setiap kali tangannya gatal untuk menghisap rokok, zikir menjadi gantinya.
Menghapuskan Bulu Roma
Ramas pucuk daun cili padi dengan kapur barus. Sapukan seluruh tangan atau kaki yang ditumbuhi bulu roma. Biarkan ia kering seketika kemudian bilas dengan air bersih.
  1. Parut satu inci kunyit hidup dan perahkan airnya. Kemudian campur dengan tiga sudu madu lebah dan satu biji telur ayam. Amalkan meminumnya dua kali seminggu. Anda akan rasa perbezaannya.
  2. Parut dan perah kunyit tua sebesar ibu jari. Air perahan kunyit itu dicampur dengan kuning telur ayam kampung. Kacau sebati kemudian minum. Ulangi meminumnya beberapa hari dan anda akan terhindar dari sakit pedih ulu hati.
  3. Campurkan buah tamar dengan sedikit susu kambing atau susu lembu asli yang segar. Kemudian minumnya dua kali sehari.
Batu Karang
Buang kulit sebiji kelapa muda (hijau). Kemudian bakar kulit ini selama 15 minit. Ambil air dan isinya dan bancuhkan dengan tiga biji telur ayam kampung kemudian di minum.
Bengkak-bengkak di Badan
Parut sepotong kunyit hidup, bubuh sedikit kapur sirih dan air. Panaskan di atas api dan biarkan sejuk. Setelah itu sapulah tempat yang bengkak dan gatal itu. Insya-Allah dalam masa 5 minit, ia akan sembuh.
  1. Ramas segenggam daun Melur sehingga hancur bersama semangkuk air. Sapukan dari kepala sehingga ke hujung kaki anak anda. Ulangi dua hingga tiga kali dalam sehari.
  2. Segera beri minum air kelapa yang muda.
Mengubati Kecacingan
Tumbuk beberapa potong pinang kering. Kemudian rendam dalam air panas. Campurkan dengan air panas. Minum setiap hari sehingga sembuh.
Cacing Kerawit
Kisar lobak merah dengan air masak. Kemudian tapis dan minum setiap hari
Kurang Darah Akibat Kemalangan
Tumbuk dua kerat lempoyang sebesar ibu jari, sedikit kunyit hidup dan sedikit gula merah. Rebus dengan tiga gelas air.
  1. Tutup hidung dan telinga yang tidak dimasuki semut. Hembuskan nafas sekuat-kuatnya sehingga serangga keluar.
  2. Masukkan minyak kelapa pada telinga yang dimasuki semut.
Tercekik Tulang
Kepal-kepalkan nasi, kemudian terus telan. Jika tidak berkesan, dapatkan rawatan seterusnya di hospital.
Menggemukkan Binatang Peliharaan
Campurkan hampas kelapa dengan tahi ikan bilis kemudian berikan pada binatang peliharaan untuk dimakan. Ini akan mengemukkannya.
  1. Kisar dua potong nanas yang kurang masak dengan dua gelas air. Tapis dan minum dua kali sehari.
  2. Rebus secekak daun pegaga. Tinggalkan sehingga menjadi dua gelas air. Minumlah sekali sehari.
Mengubati Gelgata
  1. Layurkan beberapa helai daun sirih. Sapukan pada bahagian yang ditumbuhi gelgata.
  2. Hancurkan beberapa helai daun kunyit. Kemudian sapukan pada bahagian yang terkena gelgata.
Segarkan Saraf
Rebus daun serai wangi, daun pandan dan daun nangka. Biarkan airnya kering sehingga menjadi satu cawan. Amalkan meminumnya seminggu sekali.
  1. Rebus beberapa biji bawang merah yang kecil sehingga lembut. Kisar dan tapis airnya. Minum seminggu sekali.
  2. Rebus sehingga lembut beberapa biji bawang merah kecil. Kisar sehingga hancur. Tapis airnya. Amalkan meminumnya seminggu sekali.
Sakit Disengat Lebah
Tumbuk asam jawa dengan sedikit air. Tampalkan pada tempat yang disengat lebah. Jika tidak sembuh, dapatkan rawatan lanjut dari doktor.
Berkhatan Cepat Sembuh
Rebus beberapa helai daun jambu batu dalam periuk kecil. Biarkan sehingga mendidih. Campurkan dengan air sejuk dan basuh kemaluan dengan air itu.
Kejang Perut
Tumbuk beberapa helai daun betik. Perah airnya dan minum sekali sehari. Amalkan seminggu dua kali.
  1. Cabut sebatang bunga matahari. Bersihkan dan potong kira-kira satu inci dari bahagian akarnya. Rebus sehingga airnya tinggal satu gelas sahaja. Tapis dan minum sekali seminggu.
  2. Kisar beberapa helai daun mengkudu sehingga lumat. Rebus sehingga airnya tinggal kira-kira secawan. Minum tiga hari berturut-turut.
Petua Mengelakkan Barah
  1. Minumlah air rendaman daun teh (hijau atau hitam, tetapi bukan herba) kerana ia mengandungi antioksidan. Ia boleh mencegah sel kanser daripada berkembang.
  2. Makanlah tomato kerana ia penuh dengan vitamin C, yang boleh membantu mencegah kerosakan sel.
  3. Makan kacang soya, kerana phytoestrogen di dalam kacang soya mungkin menolong melindungi daripada kanser payu dara dan prostat.
  4. Makan sayur brokoli, kobis, dan bunga kobis kerana sayur-sayuran ini mengandungi bahan melawan kanser. Juga mengandungi pelbagai zat yang lain.
  5. Campurkan halia dan bawang di dalam makanan kerana ia juga mengandungi bahan-bahan melawan kanser.
  6. Jangan ketinggalan memakan oren, lemon dan lain-lain bauh sitrus yang mengandungi bahan-bahan meransang sel-sel kebal membunuh kanser. Mengandungi vitamin C yang banyak.
  7. Jangan ketinggalan juga memakan anggur merah kerana ia mengandungi bahan yang menghalang pengeluaran enzim oleh badan yang digunakan oleh sel kanser.
  8. Makan makanan tinggi serat seperti beras yang boleh menolong mengurangkan risiko beberapa jenis kanser.
  9. Dapatkan omega - 3 asid lemak yang terdapat di dalam minyak ikan kerana ia membantu melawan kanser payu dara, prostat dan pankreas.
  10. Juga dapatkan hasil tenusu rendah lemak yang boelh mengurangkan risiko kanser payu dara, bawah usus, prostat, rahim dan pankreas.

5 Petua Lahir Anak Soleh


Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud: “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebahagian besar manusia tidak mengetahui.”
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah : “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
Sebenarnya, setiap manusia yang lahir ke dunia dalam keadaan suci bersih dan yang membentuknya menjadi baik atau buruk adalah kedua ibu bapanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Namun, sebelum mahu membentuk anak menjadi salih, ibu atau bapa hendaklah berusaha menjadi ibu yang salihah dan bapa yang salih.
Justeru, pertama, perlu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT agar anak meniru sikap yang kita paparkan. Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang atau apa-apa disyariatkan kita lakukan.
Kedua, banyakkan memohon kepada Allah SWT dengan menggunakan doa yang ma’thur iaitu doa daripada al-Quran atau Hadis.
Antaranya doa terbaik yang dipetik daripada al-Quran iaitu ayat 38 surah ali-Imran : “Rabbi Hab li Min Ladunka Zurriyatan Toiyibatan, innaka sami’ud du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”
Begitu juga surah Ibrahim ayat 40: “Rabbij’alni muqiimas solati wamin zurriyati rabbana wa taqabbal du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankan doa permohonan ku.”
Ketiga, suami isteri perlu hindarkan diri daripada sering bertengkar. Ini disebabkan, pertengkaran itu boleh menyebabkan wujud suasana tidak harmoni dalam hubungan suami isteri dan dibimbangi mempengaruhi anak.
Keempat, jauhi daripada melakukan perkara fasik atau maksiat. Apabila ibu atau ayah sukakan perkara maksiat boleh membawa kerosakan besar dalam hubungan suami isteri, begitu juga anak. Berusahalah mewujudkan suasana baik sebagai mana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (Sakinah) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah)…”
Kelima, banyakkan membaca al-Quran ketika mengandung. Tidak semestinya membaca ayat pilihan seperti surah Yusuf dan surah Maryam. Sebaik-baiknya, baca sehingga khatam kemudian diulang. Begitu juga apabila anda ingin membesarkan anak, dengarkan anak dengan bacaan al-Quran kerana ia boleh mempengaruhi jiwanya.

Thursday, October 14, 2010

Bolehkah Belajar Ilmu Tanpa Berguru?


Sejak kebelakangan ini, kita sering kedengaran seruan dan juga saranan supaya mendalami perbahasan para ulama cukup sekadar berpandukan buku-buku yang dibeli sahaja tanpa perlu merujuk dan bertalaqqi dengan para ulama.
Mereka juga turut merasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan taraf ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada para ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan yang lain.
Maka muncullah golongan tertentu yang merasakan diri mereka sudah cukup layak untuk masuki di dalam bidang ini hasil bacaan buku semata-mata.
Gejala ini mengundang pelbagai kesan negatif di antaranya kelemahan mereka memahami dan mendalami perbahasan sesuatu bidang ilmu itu dengan gambaran yang sebenarnya.
Ini kerana ilmu Islam bukan sahaja mencakupi fakta dan kenyataan semata-mata, bahkan ia memerlukan kefahaman yang jelas daripada dada-dada para alim ulama yang mengambil ilmu daripada ulama terdahulu sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW.
Tanpa bimbingan daripada ulama atau guru, jikalau berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya tadi bahkan terus menyesatkan orang lain pula.
Disebabkan itulah muncul kenyataan bahawa belajar agama seorang diri dengan buku semata-mata tanpa bimbingan ulama/guru seumpama bergurukan syaitan (walaupun kebanyakkan ulama berpendapat kenyataan ini bukan hadis tetapi Ibnu Arabi di dalam kitabnya al-Futuhat al-Makiah berpendapat bahawa kenyataan ini adalah hadis).
Memandangkan perkara ini telah menjadi perdebatan hangat, maka saya ingin mengambil sedikit ruang untuk menjelaskan perkara ini.
Semoga penjelasan ringkas ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
InsyaAllah.
Alim Ulama Adalah Pewaris Para Nabi
Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami.
Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji.
Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.
Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan sempurna.
Mereka juga bukan sahaja setakat memahami dalil-dalil dan penjelasan daripada ulama silam, bahkan ada diantara mereka menghafal ratusan ribu hadis, matan-matan ilmu dan sebagainya lagi untuk melayakkan mereka diistilahkan sebagai seorang ulama.
Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah SAW. Agama Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis:
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. - Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah
Oleh itu, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa ulama adalah golongan yang mendapat kelebihan dan kemuliaan di sisi agama Islam dengan mengiktiraf mereka sebagai pewaris para nabi.
Memandangkan ulama mendapat tempat yang istimewa juga di dalam masyarakat, maka ramailah pula golongan tertentu seolah-olah mendakwa diri mereka sama tarafnya dengan ulama sedangkan mereka baru sahaja mengecapi permulaan memahami ilmu-ilmu Islam.
Golongan seperti inilah yang akan merosakkan syariat agama sedikit demi sedikit daripada mengikut manhaj para ulama yang sebenarnya.
Kepentingan Mempelajari Ilmu Agama Daripada Ulama
Kita biasa mendengar suara-suara sumbang daripada golongan tertentu yang cuba sedaya-upaya untuk merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama bagi menutup kelemahan dan kesalahan yang telah mereka lakukan.
Ada di antara mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum sepertimana Rasulullah SAW lantas menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada para ulama untuk memahami urusan agama Islam ini.
Mereka juga berkata bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan kefahaman sendiri dengan hanya merujuk kepada buku-buku tertentu.
Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?
Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. -Surah al-Nahl: Ayat 43
Imam Syatibi di dalam karyanya al-Muwafaqat telah menjawab persoalan ini dengan beliau menimbulkan persoalan mengenai bolehkah seseorang itu memperolehi dan mempelajari ilmu agama dengan kefahaman sendiri tanpa guru.
Beliau mempertahankan hujjahnya yang mengatakan betapa perlunya guru di dalam mendalami dan memahami sesuatu ilmu itu.
Imam Syatibi juga mengatakan bahawa para ulama telah berkata:
Sesungguhnya ilmu itu berada di dada-dada guru, kemudian dipindahkan ilmu tersebut ke dalam kitab. Maka kunci bagi ilmu tersebut tetap berada di tangan para guru.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. - Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi
Menurut Imam Syatibi lagi, hadis ini bertindak sebagai hujjah bahawa guru adalah kunci bagi ilmu dan keperluan mempelajari ilmu daripada dada-dada guru.
Selain itu juga, bagi pelajar yang tidak faham sesuatu perkara yang dipelajarinya, mereka boleh terus bertanya kepada guru/ulama untuk mendapatkan penjelasan sehingga terang semuanya.
Sedangkan bagi yang belajar tanpa guru, kefahaman mereka amat terbatas berdasarkan buku yang ada di hadapan mereka semata-mata.
Boleh jadi kefahaman mereka itu betul dan besar kemungkinan juga kefahaman mereka itu salah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberikan pahala akan empat orang. Pertamanya orang yang bertanya. Keduanya guru yang menjawab. Ketiganya orang yang mendengar jawapan itu. Keempatnya orang yang cinta kepada mereka - Riwayat Abu Nuaim
Kritikan Belajar Agama Tanpa Bimbingan Ulama/Guru
Sanggahan dan kritikan belajar tanpa bimbingan ulama/guru ini saya nukilkan daripada kata-kata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi. Kenyataan beliau ini diambil dari kitabnya al-Sahwah al-Islamiah Baina al-Jumud Wa al-Tatarruf, katanya:
Kebanyakkan daripada mereka tidak bertalaqqi dengan ahli ilmu dan syeikh-syeikh yang mempunyai pengetahuan khusus di dalam bidang tersebut.
Sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung tanpa membuka peluang dan tempoh untuk merujuk dan berbincang apa yang akan diambil dan ditolak pendapatnya untuk membolehkan dikenalpasti kefahaman itu dan pengetahuan yang diletakkan di dalam mensyarahkan secara mendalam.
Ini akan dibentangkan dan diperbahaskan ketika tempoh pengkajian.
Akan tetapi, malangnya mereka hanya membaca sedikit sahaja dan berdasarkan kefahamannya (yang sedikit) itu mereka mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum-hakam.
Barangkali mereka melakukan kesalahan ketika membaca, salah kefahaman atau juga salah di dalam mengistinbatkan hukum, tetapi mereka masih tidak mengetahui kesalahan mereka itu.
Beliau menambah lagi kenyataan itu:
Walaupun mereka ini ikhlas, namun hakikatnya mereka lupa bahawa ilmu syariat (agama Islam) dan kefahamannya perlu dirujuk kepada ahli ilmu berkenaan yang boleh dipercayai.
Sesungguhnya mereka tidak akan mampu merempuh lautan luas ini secara seorang diri tanpa pembimbing (ulama/guru) yang sentiasa memimpin tangan mereka.
Pembimbing inilah yang akan menerangkan kepada mereka apa yang tidak jelas dan istilah-istilah yang mempunyai kesamaran dan menerangkan dari cabang-cabang sehinggalah apa yang utama dan akan memperlihatkan segala kesamaran.
Pada akhir penerangannya mengenai perkara ini, beliau menegaskan lagi kenyataannya bahawa perlunya berguru untuk mempelajari ilmu agama, katanya:
Inilah (mempelajari ilmu agama dengan ulama/guru) merupakan apa yang telah dijadikan sebagai langkah berhati-hati oleh para ulama Salaf al-Soleh agar menjauhi dari mempelajari ilmu dengan cara seperti ini (tanpa berguru).
Mereka berkata: Janganlah mengambil al-Quran al-Karim hanya dengan mushafnya dan bukanlah ilmu itu diambil dengan hanya daripada mushaf (kitab).
Apa yang dimaksudkan dengan mengambil hanya daripada mushaf itu ialah menghafaz al-Quran al-Karim dari catatan-catatan pada mushaf tanpa bertalaqqi (mengambil dan belajar ilmu secara bersemuka dengan para ulama/guru) dengan mulut-mulut guru yang diyakini (keilmuannya).
Peringatan ini bermaksud mengambil ilmu daripada catatan-catatan semata-mata tanpa belajar daripada ahli ilmu.
Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi lagi di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd:
Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis, lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya.
Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang.
Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik.
Mereka juga tidak mempelajari ilmu Usul Fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan segala permasalahan.
Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik.
Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
Tidak Boleh Langsung Belajar Dengan Buku?
Walaupun saya menyeru kepada belajar ilmu agama dengan para ulama/guru yang diyakini, ini bukanlah bermakna saya menolak secara mutlak belajar melalui buku.
Cumanya belajar dengan buku tanpa guru perlu diberikan penelitian dan perhatian tentang keharusannya pada beberapa ketika.
Bagi mereka yang berada di peringkat permulaan dan menengah, maka sudah pastilah tuntutan mempelajari ilmu itu secara berguru lebih diutamakan memandangkan mereka tidak mempunyai asas yang kukuh tentang sesuatu ilmu itu.
Setelah mereka memahami dan mendalami segala asas-asas yang diperlukan dengan kukuh, barulah mereka harus membaca buku-buku yang berkaitan untuk menambahkan lagi pengetahuan.
Namun jika terdapat beberapa perkara yang kurang difahami atau wujud kesamaran ketika pembacaan, maka mereka dituntut semula untuk bertanya dengan ulama/guru.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan menuntut ilmu secara berguru, mereka juga diharuskan membaca buku-buku atau mendengar ceramah dan boleh juga membaca di internet untuk meningkatkan pengetahuan masing-masing.
Namun jika terdapat sebarang perkara yang kurang difahami, maka mereka mestilah merujuk juga kepada ulama/guru yang diyakini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
Ini kerana seseorang ulama/guru lebih memahami sesuatu ilmu itu berbanding dengan orang yang hanya membaca buku semata-mata sebagai rujukan.
Oleh itu, keutamaan dan kelebihan sudah pastilah berada pada mereka yang mempelajari ilmu agama secara berguru jika hendak dibandingkan dengan golongan yang mempelajari ilmu agama tanpa berguru.
Ini kerana menuntut ilmu agama dengan berguru merupakan jalan yang ditempuhi oleh generasi Salaf al-Soleh dan para ulama lain.
Manakala bagi mereka yang telah mendalami dan menguasai segala asas-asas ilmu, mereka sudah boleh membaca sendiri kerana mereka mampu memahami isi kandungan buku berkenaan berpandukan apa yang telah mereka pelajari daripada ulama/guru sebelum itu.
Penutup
Andaikata Islam menggalakkan belajar tanpa guru, mengapakah para ulama terdahulu sanggup merantau dan berpindah-randah demi untuk menuntut dengan ulama yang diyakini?
Bahkan mereka mempunyai ratusan guru yang terdiri daripada alim ulama muktabar, bukankah ini menunjukkan kepentingan berguru di dalam menuntut ilmu agama?
Mungkin ada yang berpendapat, zaman dahulu tidak mempunyai teknologi canggih sepertimana sekarang, disebabkan itulah mereka merantau untuk menuntut ilmu.
Jika benar kenyataan ini, mengapa pula Nabi SAW menyarankan umatnya untuk belajar (anak murid) dan mengajar (guru)?
Bukankah ini menunjukkan bahawa kepentingan menuntut ilmu agama secara berguru?
Tidak mungkin segala saranan Nabi SAW ini silap dan tidak mengikuti perkembangan zaman, bukan?
Berkata Muhammad bin Sirin (seorang alim di zaman tabien) sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim karangan Imam Muslim:
Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka lihatlah dari siapa engkau mengambil agamamu!

Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Rashidi Wahab (Buluh) merupakan salah seorang panel agama iLuvislam.com. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Hons) Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran al-Karim) dari Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau kini sedang menyambung pengajian Sarjana (MA) di Universiti Darul Imam Malaysia di dalam bidang Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam). -http://facebook.com/rashidi.buluh

Resipi Ikan Pais Tempoyak



Bahan2
I ekor ikan patin; basuh dgn air asam jawa utk hilangkan hanyir
1/2 inci kunyit hidup-kisar
20 biji cili api(merah&hijau)-campur cili padi dgn cili besar-kisar
3 helai daun kunyit- hiris
3 btg serai-hiris
4 sm tempoyak
garam,gula secukup rasa
daun pisang utk balut ikan-guna aluminium foil

Cara
1.Campur bahan kisar,garam,gula dan tempoyak.
2.Gaul sebati dan lumurkan pada ikan.pastikan keseluruhan ikan dilumur
3.Taburkan daun kunyit dan serai ke atas ikan.
4.Bungkus dan bakar hingga masak

Kalkulator Cinta

Dalam duduk bersendiri melayan mata yang belum mengantuk malam tadi, hati saya berbisik sendiri.

Berulangkali.

Membaca beberapa komen teman-teman lewat status saya di fb, semakin menambah kekuatan saya berimaginasi.

Angan-angan saya, alangkah baiknya, jika ada satu alat yang berfungsi seperti sebuah mesin kira-kira, yang boleh digunakan untuk aktiviti tambah, tolak, darab dan bahagi. Cuma kelainannya ialah subjek yang dihitung bukanlah satu benda, tetapi adalah sebuah cinta.

‘Kalkulator cinta’.**

Saya cuba membayang-bayangkan aplikasinya.

Andai seorang suami melafazkan puji-pujian kepada isteri tersayang, disertai ucapan, I love you my dear, maka aktiviti tambah akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, ucapan cinta menambah bahagia, membuatkan seorang isteri rasa dikasihi dan dihargai.

‘Suami, ucapan cinta, romantik + CINTA = isteri gembira = rasa bahagia.

Saya berangan-angan lagi.

Andai seorang suami menegur gaya berpakaian isteri sebelum keluar membeli di pasar tani dengan kata-kata : ‘Cantiknya awak hari ni! Macam nak pergi mengurat mamat benggali!’. Maka aktiviti tolak akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, kata-kata yang kasar amat dibenci oleh seorang isteri, walaupun teguran yang diberi adalah benar demi kasih dan cinta suami kepada isteri.

‘Suami, sindir, perli – CINTA = isteri terasa hati = masam mencuka wajahnya sehari.


HATI SEORANG ISTERISaya sebenarnya tidaklah terlalu serius memikirkan keperluan wujud atau tidak alat sedemikian. Sekadar berfikir separa santai dalam menanggapi sekian banyak kemelut rumahtangga yang berlaku hari ini.

Salah satu darinya diutarakan melalui ruangan komentar pada artikel, JANGAN BERHENTI BERKENALAN : Renungan buat suami dan isteri. Beliau yang menamakan diri sebagai Lynn meluahkan isi hati :
“Saya suka membaca perkongsian ini. Saya sedang menghadapi kemelut rumahtangga.Sudah sekian lama berkahwin (hampir 5 tahun), suami tidak pernah memujuk, berbual, berkomunikasi (hanya bila mahukan hubungan intim) malah tidak pernah memberitahu apa yang disukai atau apa yang tidak disukai.

Saya bagai hidup dengan ‘stranger’ setiap hari saya menangis mengenangkan hal ini. Saya tidak mahu ‘selfish’, anak saya sudah 3 orang walau saya masih muda (belum menjangkau 30 tahun). Saya sayangkan rumahtangga ini dan anak-anak, cuma sedih kerana rasa langsung tidak dihargai kecuali bila suami mahukan hubungan intim. Saya bukan wanita berkerja, saya korbankan karier untuk mencurahkan sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak. Dunia saya hanya suami dan anak-anak. Bila jadi begini, saya rasa amat tertekan dan rasa ‘useless’. Apa yg patut saya buat/fikirkan?
Banyak kali saya berbincang dengan suami namun jawapan yang diberikan hanya 1 :

"Maaf abang tak tahu nak cakap apa.”
Saya sangat kecewa. Saya tak pernah berhenti berdoa dengan harapan suami akan menyayangi saya.

Saya pernah suarakan, jika suami mempunyai kekasih hati/pilihan lain saya izinkan dia berkahwin. Mungkin suami akan berubah kepada yang lebih baik dengan cara ini tapi tiada jawapan dari suami dan hubungan kami berterusan hambar beku seperti ini.

Harap ustazah sudi memberikan pandangan.

WANITA DAN KATA-KATA CINTA
Saya bersimpati dengan kemelut perasaan yang sedang dihadapi oleh Puan Lynn. Sebagai seorang wanita, saya maklum, belaian jiwa dari seorang suami yang dijelmakan melalui kata-kata seperti ucapan sayang, bicara yang lembut, mahupun sekadar lafaz terima kasih, banyak memberi kesan dan ransangan yang positif terhadap keutuhan rumahtangga yang dibina.

Isteri mana yang tidak bahagia dengan kata-kata yang menggambarkan penghargaan dari suami tercinta. Sesaat lafaz sayang diperdengarkan, sudah cukup meredakan keletihan isteri berbakti untuk anak-anak dan suami. Sepatah ucapan terima kasih diberikan, sudah cukup menjadi penawar yang meredakan resah isteri berdepan rutin yang sama di kebanyakan hari.

Hanya semudah itu, seorang suami dapat mengungguli emosi isteri yang dikasihi. Ia tidak banyak memakan masa, menagih kudrat dan tenaga dan tidak juga menelan belanja yang tidak terjangka nilainya.

Cukup hanya sekadar kata-kata mesra.

Namun begitu, sebagaimana kata-kata yang saya titipkan di laman fb, sebagai peringatan kepada teman-teman, juga untuk tatapan dan renungan diri sendiri, saya menukilkan :

“ALLAH SWT tidak memberikan semua yang kita inginkan, tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan.”

Saya akur, bukan semua wanita, bertuah dapat menikahi jejaka yang ‘cukup’ serba serbi. Seorang yang soleh dan bertaqwa, pandai pula berlawak jenaka, mahir memikat dengan aksi dan gaya yang menambat sukma, juga bertanggungjawab terhadap anak dan isteri di bawah seliaannya.

Tidak semua lelaki memiliki pakej lengkap sebegini!

Kerana itu, saya melontarkan satu persoalan :

“…antara suami yang romantik dan bertanggungjawab, yang manakah menjadi dambaan?”

IF MAN COULD TALK
Demikian satu judul buku yang dikarang oleh, Dr Alon Gratch, seorang pakar psikologi klinikal dan juga seorang pensyarah di dalam bidangnya. Beliau banyak menulis untuk pelbagai penerbitan termasuk New York Times dan Wall Street Journal.

Manurut Dr Gratch, lelaki bukan tidak boleh berbicara, hanya saja mereka lebih mudah berkata-kata dengan bahasa yang berbeza. Tidak sebagaimana kaum perempuan, yang umumnya terbuka dengan perasaan mereka, kebanyakan lelaki merasa sangat sulit untuk ‘membuka’ diri untuk orang lain. Oleh sebab itu, pada dasarnya, kaum lelaki sering terlihat jauh dan terasing serta sukar difahami, atau dalam banyak keadaan, agak keras dan menjengkelkan.

Oleh kerana itu juga, lelaki lebih mudah mewakilkan luahan kasihnya melalui sejambak bunga, atau paling tidak mereka akan memilih sekeping kad yang telah dipenuhi dengan berbaris ayat dan madah pujangga supaya ruang untuk mereka menulis menjadi lebih terhad dan tidak terlalu luas.

Justeru, saya berpandangan bahawa seorang isteri yang sentiasa menginginkan kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangganya pasti akan berusaha mengerti, meneliti secara jujur dan yakin diri bahawa tanda-tanda cinta seorang suami terhadap isteri ada pelbagai sudut dan segi.

Kasih sayang seorang suami bukan hanya boleh dinilai dengan kata-kata cinta dan ucapan mesra semata-mata ( verbal ), akan tetapi lebih penting dari itu ia harus dibuktikan melalui perbuatan dan tingkahlaku (non-verbal ).

Kasih sayang, sama ada ia boleh diimplimentasikan dengan kalimah indah dan menyejuk jiwa, ia juga boleh dijelmakan dari perilaku yang baik, pandangan yang mendamaikan, juga sentuhan dan belas ihsan. Dan yang paling utama, peranan dan tugasnya sebagai ketua keluarga telah dilaksana sebaik-baiknya.

Walau tanpa bicara, ia cuba untuk menterjemahkan perasaan dalamannya yang dipenuhi rasa cinta dan kasih mesra terhadap isteri dan cahaya matanya dengan cara yang diyakininya. Sungguhpun cara ini mungkin kelihatan agak sederhana pada penilaian ramai wanita, tetapi ia tetap bernilai secara makna, lebih-lebih lagi kepada sebuah institusi keluarga.

Justeru itu, pandanglah keadaan ‘tanpa suaranya’ ini sebagai satu kelebihan, kerana seorang suami yang memiliki upaya sebegini adalah seorang suami yang punya keistimewaan tersendiri. Dia sebenarnya seorang yang penyayang tetapi kasihnya ditunjukkan dalam diam. Tanpa bicara, tidak melalui kata-kata.


BAHASA TUBUH RASUL JUNJUNGANRasulullah SAW sendiri sebagai contoh tauladan terbaik seorang suami yang menyintai dan menghargai isteri, banyak menunjukkan kasih sayangnya dalam bentuk non-verbal ini. Situasi ini dapat dilihat dari sekian banyak hadis-hadis baginda, di antaranya :

1. Bersegera menemui isteri jika tergoda. Dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW pernah melihat seorang wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lantas baginda menumpahkan keinginan baginda kepadanya. Setelah itu, baginda keluar dan bersabda : “Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya, kerana pada diri isterinya itu ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita tersebut." ( Hadis riwayat Tirmidzi )

2. Bergiliran minum pada tempat yang sama. Dari 'Aisyah r.a, dia berkata : "Aku biasa minum dari cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda minum, kemudian aku mengambil cawan, lalu aku menghirup isinya, kemudian baginda mengambilnya dariku, lalu baginda meletakkan mulutnya pada tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda pun menghirupnya." ( Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Sa'id bin
Manshur)

Hadis-hadis di atas menggambarkan betapa indah kemesraan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda, sekaligus menyatakan bahawa Islam sangat mementingkan komunikasi non-verbalini, kerana sememangnya bahasa tubuh, dalam banyak situasi dan kondisi, lebih efektif menyatakan cinta dan kasih sayang antara suami isteri.


PRO-AKTIFSaya bersetuju, andai menginginkan suami romantik, tidak salah jika isteri yang memulakan langkah pertama. Bersikap pro-aktif dalam persoalan rumahtangga dan kebahagiaan ikatan perkahwinan tidak akan merugikan pihak isteri. Sebaliknya, bak kata pepatah Inggeris :

‘What you give, you get back’.

Dengan senyuman yang manja, sentuhan yang lembut diiringi tutur kata yang sopan bersahaja, pasti dapat menjadi pemangkin buat seorang suami yang pendiam untuk berbicara sepatah dua.

Walau masa yang diambil, mungkin bertahun lamanya, namun usaha yang ikhlas kerana ALLAH, demi kelansungan ikatan perkahwinan dan keharmonian rumahtangga, pasti akan beroleh bantuan dari Yang Maha Esa. Memang tidak mudah, tetapi dengan kesabaran dan mujahadah beserta penyerahan yang tuntas kepada ALLAH, segalanya impian akan menjadi nyata, InsyaALLAH.

Ini sifir yang saya yakini ketepatannya.

Selebihnya, mungkin perkongsian pengalaman dari dua wanita ini, dapat membuka mata dan hati wanita lain yang membaca.

Itu harapan saya.


KALKULATOR CINTA
Akhirnya, buat Puan Lynn dan para isteri di luar sana, saya suka berkongsi beberapa ayat yang sangat memberi kesan kepada diri ini untuk terus memuhasabah sikap, tindakan dan perlakuan saya sehari-hari, terutama dalam menunaikan hak suami dan pelaksanaan tanggungjawab sebagai isteri.

Firman ALLAH SWT :

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ

Maksudnya : “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala) nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.” ( Surah al Anbiya’ ayat 47 )


Maksudnya : ”Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.” ( Surah al-Israa ayat 13 )

اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

Maksudnya : "Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu." ( Surah al-Israa ayat 14 )

Saya mengakhiri coretan di ruang fb dengan komen balas berisi sedikit renungan buat diri sendiri dan teman-teman :

“Dalam mempersoalkan tentang hak, adalah lebih baik kita ( isteri ) bertanyakan diri tentang tanggungjawab yang kita telah, sedang dan akan berikan buat yang berhak ( suami).

Fokus kepada apa yang kita perlu buat sebagai seorang isteri dari menumpukan kepada apa yang kita patut dapat dari seorang suami.

Bimbangnya diri ini, andai di akhirat nanti, kita menjadi musuh kepada diri sendiri atas kecuaian dan kelalaian sebagai isteri ketika hayat di dunia ini.”


Realitinya, kalkulator cinta suami isteri di dalam Islam tidak berkisar sekadar luahan cinta dan kata-kata yang indah membelai jiwa semata. Ia tidak terhenti hanya pada kiraan secara lahiriah dan fizikal sahaja, tetapi ukuran cinta yang hakiki adalah berlandaskan taqwa, ikhlas dan menuruti sunnah Nabi yang diperakui Ilahi. Keredhaan ALLAH, matlamat utama cinta mereka. Walau sekecil apa pun usaha yang dilakukan demi menjamin ikatan yang ada tidak terlerai dan bubar, ia pasti diberikan ganjaran setimpal oleh Yang Maha Esa.


Ya Allah, Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta
pada-Mu, telah berjumpa pada menunaikan ketaatan pada-Mu, telah bersatu dalam
berdakwah untuk kembali pada-Mu, telah berpadu dalam membela syariat-Mu.
Kukuhkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya.
Penuhilah hati-hati ini dengan nur-Mu yang tidak pernah pudar. Lapangkanlah
dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di
jalan-Mu.

Ameen ya rabbal alamin.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

**( p/s : Sudah pasti bukan kasih uda dan dara yang tidak halal fokus saya, tetapi cinta mesra seorang lelaki kepada seorang wanita yang telah diikat dengan akad : aku terima nikahnya.)

Wednesday, October 13, 2010

Resipi Ikan Kembung Percik





Bahan2: 
8 Ikan kembung
1 biji Bawang besar
5 biji Bawang merah
2 ulasBawang putih
1 btg Serai
3 hiris Lengkuas
1 mangkuk Santan pekat
1 sudu besar Serbuk kunyit
1 sudu besar tepung beras
5 tangkai cili kering, direndam
1 asam keping
Garam & gula secukup rasa
* Menurutnya org Kelantan suka manis, so should add extra sugar but I adjusted accor din g to my tastebud. 

Cara2: 

1. Ikan dibersihkan, dikelar2 dan dilumur dengan sedikit garam. Ketepikan.
2. Kisar semua bawang, serai dan lengkuas.
3. Masukkan santan dalam periuk dan tenggekkan atas api. Masukkan kesemua bahan kisar dan yg lelainnya.
4. Masak dan perasakan dengan garam & gula.
5. Akhir sekali masukkan tepung beras yg sudah dibancuh dgn sedikit air. Masak hingga pekat.
6. Lapik dulang pembakar dengan foil/daun pisang dan susun ikan. Bakar separuh masak baru lumur ikan dengan kuah percik. Ulang melumur ikan dengan kuah sehingga masak sepenuhnya. 

Resepi Ikan Bakar



Bahan2: 
1 ekor ikan bersaiz besar, dilumur sedikit garam dan asam jawa
Bawang Besar, dimayang
Bawang Merah, dimayang
Bawang Putih, diketuk
Halia, diketuk
Serai, diketuk
Lengkuas, dimayang
Cili kering, direndam dan dikisar dgn sedikit air
Santan
Air Asam Jawa
Garam & Gula Merah secukup rasa 

Cara2: 

1. Tumis semua bawang, halia, serai dan lengkuas.
2. Bila hampir layu, masukkan cili kisar. Kacau seketika, masukkan air asam jawa. Masak sehingga likat dan maik minyak.
3. Perasakan dengan garam dan gula merah.
4. Masukkan sedikit santan dan masak sehingga santan meresap dan hilang warna putihnya.
5. Lapikkan dulang pembakar dengan aluminium foil atau daun pisang.
6. Lumurkan sambal ke atas ikan dan bakar dalam oven sehingga masak. Sesekali lumurkan lagi sambal. 

Air Asam Jawa 

* Ramas segumpal asam jawa dengan air masak. Buangkan biji2 dan kulit asam dan ambil airnya shj.. Mayangkan bawang besar, buah tomato dan hiriskan halus cilipadi. Masukkan semua dlm air asam dan campurkan sedikit gula. Siap... 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...