Wednesday, August 25, 2010

Dari Tingkap Rumahku


Waktu pagi sesudah subuh, diwaktu orang ramai sedang sibuk bersiap untuk ke tempat kerja. Aku pulak sibuk dengan panorama dibelakang rumah.



Awan berarak melalui jendelaku.

Tuesday, August 24, 2010

Kisah Jualan Murah



Perbandingan harga yang agak 'melampau' sebelum dan selepas jualan promosi. Perhatikan tarikh yang tertera pada kedua-dua label.

MUKADIMAH:

JUALAN murah, harga runtuh, tawaran potongan harga 50 hingga 80 peratus, di pusat membeli-belah sering mendapat perhatian yang menggalakkan daripada pengguna terutamanya golongan wanita yang gemar berbelanja sakan.
Persoalannya adakah jualan murah ini benar-benar wujud atau ia sengaja digunakan oleh peniaga untuk mengaut keuntungan lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri
yang akan disambut oleh umat Islam di seluruh negara kurang tiga minggu lagi. Ikuti laporan khas wartawan Mingguan mStar  mengenai penipuan jualan murah yang diibaratkan sebagai ‘duri dalam daging’ terhadap masyarakat di negara ini.

PETALING JAYA
:  Sehelai selimut tertera dua label harga iaitu RM455 dan selepas diberi diskaun kononnya sebanyak 80 peratus, maka harganya turun mendadak kepada RM109.20.

Ironinya, tarikh yang tertera pada label harga diskaun ialah 10 Ogos 2009 bermakna ia dicetak pada hari berkenaan sementara label dengan harga RM455 - yang kononnya harga asal - tertera tarikh 22 Julai 2010.
Kesimpulan mudahnya ialah, pengguna ditipu oleh pihak penjual yang tidak bertangggungjawab kononnya mereka menerima harga diskaun yang sangat menarik sedangkan pembeli membayar harga asal produk yang dijual itu.

Itu baru satu contoh barangan, sedangkan terdapat ribuan produk yang dijual di situ dengan tawaran potongan harga bagi menarik perhatian pembeli yang tanpa disedari mereka sebenarnya terpedaya.

Bayangkan keuntungan yang diperoleh peniaga sekiranya taktik serupa dilakukan setiap kali promosi jualan.

Tiada siapa yang menyangka, penipuan licik seperti itu didalangi oleh pusat membeli-belah terkenal, bukannnya gerai di pasar malam atau di tepi-tepi jalan.

Merasakan dirinya tertipu dengan potongan harga yang disifatkan tidak masuk akal, seorang pengguna prihatin, Khairul Nizam Abd Maulud, 34, tampil mendedahkan perkara tersebut kepada Mingguan Mstar baru-baru ini.

“Saya sangat kecewa dengan penipuan yang berlaku. Selalunya saya akan semak tanda harga sebelum diskaun. Tapi pada hari kejadian isteri saya terlepas pandang kerana dia pergi seorang diri. Lebih malang, tanda harga sebelum diskaun tertera tarikh Julai 2010 sedangkan harga ketika promosi pula memaparkan tarikh Ogos 2009.

“Di sini jelas menunjukkan penipuan tanda harga oleh peniaga, harga promosi yang diletakkan pada barangan itu adalah harga asal produk berkenaan. Nampak sangat peniaga sengaja mencari keuntungan dengan cara yang mudah kerana mereka tahu pengguna pasti membeli produk pada harga yang murah,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi berkata, di sinilah pentingnya ilmu kepenggunaan, kerana ia dapat membantu pengguna membuat penilaian terhadap kesahihan harga sesuatu produk sebelum dan ketika promosi jualan murah diadakan.

“Membaca label dan tag harga adalah penting, tapi pengguna sering mengabaikannya. Inilah yang selalu menjadi punca kepada penipuan tanda harga. Sikap tidak suka membaca tag harga pada produk perlu dikikis, kita perlu jadi pengguna yang berhemah, biar kita jadi pengguna yang ‘alah membeli menang memakai’.

“Ini tidak pantang ternampak iklan jualan murah kita pasti akan ke pusat beli-belah berkenaan untuk membeli-belah. Kita harus membuang sikap sedemikian, sebaliknya kita perlu membeli barangan yang dirasakan perlu dan jangan membazir dalam berbelanja, barulah kita boleh menjadi pengguna yang berhemah,” katanya.

Khairul Nizam berkata, penipuan tanda harga ketika jualan murah banyak berlaku di pusat beli-belah terkemuka di negara ini saban setahun.

Thursday, August 19, 2010

Khasiat Labu

Khasiat labu bukan sekadar terletak pada isu buahnya tetapi juga biji, bunga dan daunnya.



Buah ini adalah antara watak yang turut tersenarai dalam kisah dongeng kanak-kanak Cinderella. Ditukar oleh tukang sihir menjadi kereta kuda, buah labu ternyata sudah dikenali kebanyakan orang sejak zaman kanak-kanak lagi.

Jika tidak kerana kisah Cinderella, mungkin juga anda mengenali buah labu sebagai hiasan ketika orang Amerika Syarikat (AS) menyambut Helloween. Atau mungkin juga sebagai buah yang bijinya (kuaci) cukup popular dan enak dikudap ketika menonton wayang kuaci.

Namun begitu, jarang orang memperkatakan tentang khasiat buah comel berwarna kuning atau hijau kekuningan ini.


Pengat labu enak dimakan untuk minum petang.

Baik Untuk Si Rabun

Biasanya bersaiz bulat, labu merah yang berasal daripada keluarga cucurbitaceace adalah sejenis sayuran yang kaya dengan dengan pelbagai sumber berguna untuk kesihatan tubuh.

Jika anda seorang yang berdepan dengan masalah rabun terutamanya pada waktu malam atau ketidakseimbangan gula dalam darah, anda mungkin patut mempertimbangkan labu merah sebagai menu dalam diet anda.

Ini kerana pakar dietetik mendedahkan vitamin A dan vitamin C adalah antara dua jenis vitamin yang paling tinggi dalam isi labu.

Malah khasiat daripada tumbuhan ini boleh dibahagikan mengikut buah, biji, daun atau bunganya.

Selain vitamin A dan C, labu juga mengandungi sumber kalsium, fosforus, zat besi, beta karotin dan serat. Kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menyatakan sumber serat atau fiber yang tinggi dalam labu turut berfungsi mengawal nafsu makan.


Pelbagai Khasiat Labu

Dalam buku 'Vegetables : For Health and Healing' nukilan Ong Hean Chooi, isi labu yang direbus dikatakan baik untuk merawat tekanan darah tinggi dan penyakit kuning. Labu yang dimasak juga baik untuk mengawal diabetes manakala labu yang dikukur halus boleh merawat luka kecil seperti terbakar atau luka pisau.

Daun labu merah pula bagus direbus untuk dijadikan penawar cirit-birit atau demam. Boleh juga ditumbuk kasar untuk diletakkan pada otot yang sakit.

Menariknya ramai yang menyangka menikmati kuaci labu sekadar bahan kudapan kosong. Kajian yang dilakukan oleh saintis AS pengambilan biji labu yang dimakan secara teratur dalam mencegah masalah batu ginjal. Kajian lanjut turut pernah dilakukan oleh saintis dari Thailand.

Mereka mendedahkan hanya lima hingga 10 biji labu diperlukan sehari untuk mencegahbatu karang.

Satu lagi kebaikan yang jarang didedahkan tentang ialah khasiatnya untuk kanak-kanak yang menderita kecacingan. Biji labu dikeringkan dan ditumbuk halus sebelum dicampur dengan air suam. Tapiskan campuran itu dan airnya diminum sebelum tidur.

Untuk anak-anak yang kurang nafsu makan boleh diberikan isi buah labu. Sebaiknya ia dihidangkan secara menarik untuk menarik perhatian anak anda.

Radang Punca Ketumbit

oleh Prof. Dr. Muhaya Mohamad

Ketika kecil dulu, sesiapa yang ada ketumbit pada mata pasti menjadi bahan usikan sekeluarga kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat buruk, iaitu mengintai orang.

Kalau ketumbit itu kecil tidak mengapalah kerana tidak ramai yang perasan, tetapi ia jadi masalah jika benjolan seperti jerawat di tepi mata itu besar sehingga menyebabkan rasa sakit selain malu diusik.

Sebenarnya ketumbit tiada kaitan langsung dengan tabiat mengintai kerana ia sejenis keradangan pada kelopak mata yang disebabkan jangkitan kuman. Biasanya bakteria ini membiak di akar bulu mata sebelum menimbulkan masalah.


Usikan mengaitkan ketumbit dengan tabiat buruk berkenaan perlu dihentikan, terutama jika ia berlaku pada anak yang berjiwa sensitif, kerana ia boleh menyebabkan mereka jauh hati dan rendah diri. Sebaliknya terangkan keadaan sebenar mengenai masalah yang berlaku pada mata mereka.

Punca dan Gejala Ketumbit

Ketumbit boleh dibahagikan kepada 2 jenis. Yang pertama akibat jangkitan kuman pada pangkal bulu mata. Jenis kedua ialah keradangan disebabkan penyumbatan pada kelenjar yang menghasilkan minyak untuk menentukan bulu mata kalis air atau kalazion.

Adakah ketumbit itu berbahaya, terutama jika saiznya besar? Tidak. Ia tidak menjejaskan penglihatan seseorang, tetapi boleh menyebabkan kesakitan disebabkan berlaku bengkak pada satu kawasan kecil yang sensitif di kelopak mata.

Kadangkala seseorang boleh mendapat lebih daripada satu ketumbit pada satu masa, tetapi usah risau kerana ia tidak berbahaya. Selain benjolan merah pada kelopak mata, antara gejala lain yang mengiringi ketumbit ialah :

* Mata berair.
* Mata terasa gatal, terutama jika ada habuk.
* Mata menjadi sensitif terhadap cahaya.
* Kelopak mata menjadi merah dan bengkak,

Biasanya ketumbit mengambil masa 3 hari sebelum ia pecah dan kering. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, ketumbit akan sembuh dalam tempoh seminggu.

Ketumbit jenis kedua yang disebabkan penyumbatan kelenjar minyak (kalazion) pula 'tumbuh' lebih perlahan dan jika ia terlalu besar, ia mungkin boleh mengganggu penglihatan.

Apakah rawatan bagi ketumbit?

Rawatan utama untuk ketumbit ialah penggunaan antibiotik setempat yang harus diletakkan ke dalam mata bagi merawat jangkitan kuman dan pembedahan kecil.

Bilakah pembedahan diperlukan?

Pembedahan hanya diperlukan untuk ketumbit yang disebabkan oleh penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata selepas rawatan antibiotik setempat tidak berkesan. Selalunya ia berlaku selepas keradangan berlanjutan melebihi dua minggu.

Apakah rawatan pada peringkat awal bagi kalazion?

Ia dapat dirawat dengan meletak antibiotik dan diikuti dengan menuam mata dengan kain yang direndam dalam air suam untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata. Ini harus dilakukan sebanyak 3 kali selama seminggu.

Adakah ketumbit menyebabkan kebutaan?

Tidak. Ini kerana ia hanya membabitkan kelopak mata. Fungsi melihat bergantung kepada kesihatan biji mata dan kesihatan mata tidak terganggu apabila ada ketumbit.

Bolehkah ketumbit menyebabkan gangguan penglihatan?

Ia boleh menyebabkan sedikit gangguan jika terlalu besar dan menekan pada bahagian tengah mata, yang mana ia menyebabkan astigmatisma.

Anak saya sering mendapat ketumbit, adakah ini bermakna beliau kurang sihat?

Tidak, sebenarnya ia jangkitan dan boleh berlaku pada sesiapa saja.

Bolehkah ketumbit berjangkit?

Ketumbit tidak berjangkit kepada orang lain. Ini kerana ia disebabkan penyumbatan pada kelenjar tarsal mata pesakit.

Apa harus saya lakukan jika berlaku ketumbit pada kelopak mata anak saya?

Segera jumpa doktor untuk mendapatkan antibiotik dan memulakan rawatan untuk mencegah pembesaran ketumbik.

Bagaimanakah pembedahan ketumbit jenis kalazion dilakukan?

Untuk orang dewasa, selalunya ia dilakukan dengan pembedahan menggunakan bius setempat dan tidak menyakitkan. Bagaimanapun untuk kanak kanak, pembedahan menggunakan bius am diperlukan.

Nak 'Couple' Boleh Tak ??

Nak 'Couple' Boleh Tak??
www.iLuvislam.com
Oleh: unknown writer

Tentu ramai yang tertanya-tanya. Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati dengan pernyataaan di atas. Ada yang kata hukumnya harus. Mungkin ada yang kata makruh. Sememangnya kenyataan ini menimbulkan banyak kontroversi, lebih-lebih lagi di kalangan muda-mudi sekarang.


Apa Itu Ber ‘couple’?
Ber ‘couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula berputik. Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. Ade yang berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan. Akhirnya apabila dua insan berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai, mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber‘couple’.
Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya. Kalau di kelas, buat study group ataupun group discussion. Bagi yang kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abang-sayang dan sebagainya.
Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini,hidup mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang,tidur tak lena, mandi tak basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’ dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka. Sentiasa ceria dan tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup bersumpah, setia hingga ke akhir hayat. Ada juga yang hanya sekadar bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang boleh dilihat daripada pasangan yang ber‘couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan perlayaran di lautan percintaan masing-masing.

Mengapa Ber’couple’ Haram?
Ya,mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang ber ‘couple’, sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.
Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau ber ‘couple’? Memang tidak dinafikan,dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin(36) ayat 36:
Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.”
Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujrat(49) ayat 13:
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah dalam Surah An-Nur(24) ayat 30:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.".
Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman dalam Surah An-Nur(24) ayat 31: Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,....
Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.
Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab, “Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je” , “Kami keluar makan je” dan “Kami main SMS je.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi.Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber‘couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.
Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti
Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya:
Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”
Daripada dua hadis ini, jelas Rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja,menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, kecantinkannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber ‘couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.




Apa Yang Patut Dilakukan?
Bagi yang belum terjebak, adalah dinasihatkan jangan sekali-kali menjerumuskan diri ke lembah percintaan. Susah untuk meninggalkan suatu perbuatan maksiat seperti ini setelah merasai kenikmatannya. Silap-silap boleh terlanjur dan langsung tidak dapat meninggalkannya lagi. Bagi yang sudah terjebak, sedang, ataupun yang mula berjinak-jinak dengan percintaan, sedarlah. Segeralah kita meninggalkan perbuatan maksiat yang tidak diredhai lagi dimurkai Allah ini. Tiada gunanya kita terus melakukan dosa demi meneruskan hubungan terlarang ini demi mendapatkan kebahagiaan duniawi yang sementara ini. Hanya satu jalan sahaja yang menghalalkannya iaitu melalui ikatan pernikahan.

Bagi pasangan-pasangan yang benar-benar serius, diingatkan, semakin manis hubungan sebelum berkahwin, semakin tawar hubungan selepas menjadi suami isteri nanti. Lihatlah ibu-bapa serta atuk nenek kita, keutuhan rumah tangga mereka boleh dilihat sehingga kini tanpa melalui zaman percintaan yang diimpikan remaja-remaja kini.
Setiap dari kita tentu mengidamkan pasangan hidup yang baik. Kita tidak mahu pasangan kita seorang yang tidak beriman. Seburuk-buruk perangai manusia, dia tetap menginginkan seseorang yang bain sebagai teman hidupnya.
Firman Allah dalam Surah An-Nuur(24) ayat 26:
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).”

Janji Allah, dia akan mengurniakan kepada lelaki yang baik-baik dengan perempuan yang baik-baik. Begitulah sebaliknya. Allah akan berikan yang baik, denagn syarat, kita juga berusaha menjadi baik serta meilih jalan yang baik serta diredhai-Nya. Bagaimana hendak mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia serta diredhai Allah jika pokok pangkal permulaannya sudah pincang, tidak berlandaskan Islam serta tidak diredhai Allah? Mungkin pada mulanya kita menganggap perkara yang kita lakukan ini cukup baik, niatnya baik, caranya pun kita rasakan cukup baik.tetapi sebenarnya, ia adalah rencana syaitan yang membuatkan kita kabur memandang perbuatan yang kita lakukan itu.
Firman Allah dalam Surah Al-‘ankabut(29), ayat 38:
Dan setan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.”.
Sebenarnya, dalam Islam, lelaki dan perempuan tdak dibenarkan bergaul terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh mengahampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Misalnya apabila ditugaskan mengadakan perbincangan dalam kumpulan besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.
Perasaan suka dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Tak salah bagi seseorang lelaki untuk menyukai seseorang perempuan dan seseorang perempuan menyukai seorang lelaki. Tapi, perasaan ini tidak boleh dilayan dan difikir-fikirkan kerana ianya merupakan hasutan syaitan yang membawa kepada zina hati. Sepatutnya apabila kita terfikir mengenai perkara-perkara ini, kita hendaklah menepisnya dan berhenti terus daripada memikirkannya.
Firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 201:
Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan setan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Para pembaca diingatkan, semua hujah-hujah yang telah diberikan adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika kita menolaknya, sebenarnya kita menolak perintah Allah dan Rasul. Na’uzubillah.
Firman Allah dalam Surah Al-Anfal(8), ayat 20-22:
Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),(20) dan janganlah kamu menjadi sebagai orang-orang (munafik) yang berkata: "Kami mendengarkan, padahal mereka tidak mendengarkan.(21) Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli (tidak mendengar dan tidak memahami kebenaran) yaitu orang-orang yang tidak mengerti.(22).

Orang yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah mereka yang tidak mahu menuruti perintah-perintah Allah. Janganlah kita tergolong dalam golongan ini. Balasan bagi golongan ini ialah neraka jahannam seperti firman Allah dalam Surah Aj-Jaatsiyah(45) ayat 7-11:
Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa,(7) dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri kabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.(8) Dan apabila dia mengetahui barang sedikit tentang ayat-ayat Kami, maka ayat-ayat itu dijadikan olok-olok. Merekalah yang memperoleh azab yang menghinakan.(9) Di hadapan mereka neraka Jahanam dan tidak akan berguna bagi mereka Sedikit pun apa yang telah mereka kerjakan, dan tidak pula berguna apa yang mereka jadikan sebagai sembahan-sembahan (mereka) dari selain Allah. Dan bagi mereka azab yang besar.(10) Ini (Al Qur'an) adalah petunjuk. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Tuhannya bagi mereka azab yaitu siksaan yang sangat pedih.(11)”
Akhir sekali, ambillah Islam secara syumul,bukan hanya ambil Islam pada perkara yang disukai, tetapi kita tinggalkan sebahagian yang lain yang tidak sesuai dengan kehendak kita. Firman Allah dalam Surah An-Nisaa’(4) ayat 150-151 :
“ Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasu-rasul-Nya, dan bermaksud memperbedakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: "Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)", serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir),(150) merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan. (151).

Kembalilah ke jalan yang lurus. Tinggalkanlah perkara-perkara maksiat yang telah kita lakukan sebelum ini. Bertaubatlah sementara kita masih ada kesedaran, jangan tunggu sampai kita dibiarkan sesat oleh Allah sehingga hati kita tertutup untuk menerima kebenaran, Surah Aj-Jaatsiah(45) ayat 23:
“ Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
Memang pada mulanya untuk meninggalkan maksiat-maksiat ini amat susah, tetapi,ia masih wajib kita tinggalkan. Ingatlah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah(2) ayat 216:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber‘couple’ adalah menghampiri zina. Ia adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam dan hukumnya adalah HARAM. Wallahua’lam.

Wednesday, August 18, 2010

Resipi Masakan - Cucur Badak

Sedap dimakan diwaktu petang .


Cucur Badak 

Bahan2nya:
500gm ubi keledek (direbus dan dilecek halus)
100gm tepung gandum.

Bahan inti:

300gm kelapa parut (kelapa yang agak muda dan parut putih sahaja)
3 biji bawang merah (kisar)
3 biji bawang putih (kisar)
segenggam udang kering (kisar)
2 sudu besar cili merah yang telah dikisar(nak pedas boleh tambah lagi)
2cm kunyit hidup (kisar)
2 batang serai dititik
garam dan gula secukup rasa 

Caranya:

Gaulkan ubi keledek yang telah dilecek bersama tepung gandum, uli hingga sebati, bentukkan bulat dengan saiz mengikut citarasa masing2 dan bubuh inti.Goreng dengan api yang sederhana hingga masak. Angkat dan bolehlah dihidangkan untuk sarapan pagi atau minum petang. Minum pulak teh o panas…. Emmm memang best.

Inti:

Panaskan minyak dalam kuali tumiskan bahan2 yang telah dikisar bersam serai bila dah naik bau masukkan cili, masak hingga pecah minyak masukkan kelapa parut, gaul rata, masukkan garam dan gula secukup rasa, masak hingga kelapa kering dan angkat. Sedia untuk digunakan.

Surat Cinta Seorang Rocker's sejati..


Kehadapan awekku,Amacam awekku? Lu orait ke? Wa harap lu ok-ok je..
 Awekku, gua telah membaca surat lu tempohari. Apasal lu buat cenggini kat gua? Selama ni cintan gua terhadap lu bukan main. Lu ingat gua main-main ke? Cintan gua mendalam very deep you know! very deep purple! Lu tak perasan ke?

Apa yang kurangnya gua ni? Cuba lu cakap! Gua ni tak cukup hensem ke? Atau lu sudah ada balak lain? Lu sound gua beb! Mentang-mentang lu keja opis, lu ada skandal dengan mat despatch kat opis lu tu! Mamat poyo tu lu nak? Apa barang?!! Setakat mat despatch, kalau lu nak tau, gua dulupun pernah mintak jadi cikgu tapi tak dapat. Bukan pasal gua takde kelayakan tapi tadika kemas jarang amik cikgu lelaki. Lagipun jiwa gua lebih kepada seni. Tiket konsert gua semua habis jual! Sebab tulah gua jadi tukang jual tiket konsert funfair buat sekian lamanya sampai tauke funfair tu tak offer kat onglain.

Gua memang betul-betul tak puas hati ni! Lu memang bikin gua panas! Sampai hati lu buat macam ni kat gua setelah apa yang gua dah kasik kat lu. Lu ingat gua ni apa?!!

Awekku, lu ingat tak dulu sewaktu lu & gua first time jumpa? Masa tu hujan. Lu takde payung. Lu lari pegi kat bus stop. Lu basah kuyup. Kesian pulak gua tengok lu kesejukan. Gua bukak jeket gua pastu kasik lu pinjam. Baek punya gua usya. Start tulah lu & gua sama-sama sudah feeling-feeling. Gua ingat lagi lagu "antara gadis" masa tu kita layan menjadi lagu tema cinta gua kat lu. Gua selalu nyanyi lagu tu kat talipon public. Lu tak ingat ke? Ke lu dah lupa?!!

Pehal lu buat cenggini?!! Gua dah tangkap cintan maut kat lu wo! Janganlah buat gua macamni! Kalau lu tak suka cara gua lu cakaplah! Janganlah kerana besday lu gua hadiahkan t-shirt metallica, lu buat camni pulak kat gua. Gua tau sapa gua. Gua memang macamni, rocker sejati! Lu pun tau sapa gua. Dulu lu takdepun macam ni. Lu tak kisahpun! Lu layan selamba je. Tapi kenapa sekarang lu berubah? Nampak je gua rocker tapi gua pun beriman jugak, beb! Sembahyang jumaat tak tinggal wo!

Lu pikirlah sindri, beb! Gua dah curahkan segala-galanya kat lu. Gua dah sound mak bapak gua nak meminang lu. Gitar Gibson secondhand gua tu gua dah gadai. Gua buat modal nak kawin dengan lu. Cayalah cakap gua! Gua tak tipu! Betul cakap lu! Gua harap lu pikirlah baik-baik, beb! Gua dah takde awek lain lagi. Lu sorang jelah yang gua cinta. Awek lain gua usya diorg tak layan gua cakap lu! Gua tak tipu! Betul punya cakap lu!

Akhirkata dari gua, kenang gua dalam doa makan malammu. Semoga lu berbahagia, beb!.. chow..!

Yang Benar,Rockersejati...
Mat rock yg lara..

Sleep Safe Tape

Pelekat Istimewa untuk mereka yang mengalami kegagalan membuka kelopak mata semasa berada ditempat kerja.
Dengan gaya ini, pasti kita akan kantoi ngan bos.

Setelah menggunakan pelekat istimewa tersebut, kita dapat tidur dengan selamat.☺

CERPEN - Menepuk Air di Dulang


Maafkan   Ila,   emak.

Ampunkan Ila, ayah.

Ila tahu Ila yang bertanggungjawab menyebabkan ayah dan emak sedang berhadapan dengan satu keadaan yang amat tidak menyenangkan sekarang. Ila sedar, kerana Ilalah ayah dan mak terpaksa bersemuka dengan pengetua, guru penolong kanan hal ehwal murid, dan Cikgu Rozi sekarang.

Memang Ila tidak dapat mendengar perbincangan yang sedang berlangsung di bilik puan pengetua ketika ini. Namun, sedikit sebanyak Ila dapat mengagak dan menelah biji butirnya. Bukan itu sahaja. Malah, Ila seperti dapat mendengar suara lantang emak. Ila seperti dapat mendengar tengkingan ayab.

Ketahuilah, emak. Ketahuilah, ayah. Tidak pernah terlintas di bati Ila untuk menjatubkan air muka emak dan ayab di hadapan cikgu. Tidak pernah terniat di hati ini untuk menconteng arang ke muka orang-orang yang telah menyebabkan Ila lahir ke dunia. Sebetulnya, Ila menyayangi emak dan ayah walaupun emak dan ayah sering menggores hati Ila.

Bukan senang untuk Ila buat keputusan ini, emak. Bukan mudah untuk Ila mengambil ketetapan ini, ayah. Tuhan sahaja yang mengetahui betapa beratnya hati Ila, tatkala Ila mencurahkan segala-galanya kepada Cikgu Rozi.

Cikgu Rozi kerap benar memarahi Ila. Dia marah Ila bukan kerana dia benci Ila. Dia marah bukan kerana Ila nakal. Dia marah bukan kerana Ila bodoh. Dia marah sebab dia terlalu mengambil berat tentang Ila.

"Duit awak dalam bank tinggal seringgit saja? Apa yang telah awak buat dengan duit awak yang banyak tu?" Cikgu Rozi pasti akan terkejut setiap kali dia meminta buku akaun Ila dan memeriksa baki wang itu.

Apabila disergah begitu, Ila hanya mendiamkan diri.

"Ya ... ya ... cikgu." Ila tidak ubah seperti anak tikus yang sedang berhadapan dengan seekor kucing garang.

"Apa awak buat dengan duit tu?"

"Say a... say a...."

Berkali-kali Ila ingin berterus terang. Berkali-kali Ila ingin menyatakan perkara yang sebenarnya. Biar Cikgu Rozi puas. Biar Cikgu Rozi tabu apa yang sedang terbuku dalam hati Ila.

Pun begitu, jawapan Ila akan tinggal tergantung apakala Ila mengenangkan emak dan ayah. Ila tidak berani menepuk air di dulang, kerana Ila tahu air itu akan terpercik ke muka Ila sendiri.

"Duit yang awak dapat tu bukan untuk dijolikan. Duit tu untuk menampung perbelanjaan persekolahan awak. Duit tu untuk simpanan masa depan awak. Duit tu mesti digunakan dengan sebaik-baiknya."

Ila telah belajar merelakan diri mendengar leteran Cikgu Rozi yang berulang-ulang, semata-mata kerana mahu menjaga nama baik emak dan ayah.

"Awak dipilih untuk mendapat bantuan biasiswa ini kerana awak susah. Keluarga awak miskin."

Air mata Ila akan mula jatuh berderai setiap kali telinga Ila menangkap kata-kata demikian yang diluahkan oleh guru yang Ila hormati itu. Kata-kata itu menggegarkan perasaan Ila sungguhpun kata-kata diucapkan secara bersahaja.

Benarkah aku susah? Benarkah keluargaku miskin? Ila akan tertanya-tanya sendiri.

"Awak buat apa dengan duit tu, ha?" Pertanyaan itu bagaikan dentuman guruh yang mengejutkan seisi alam.

Biasanya, Ila dapat kawal diri Ila supaya tidak terlepas cakap, biarpun Ila berasa bersalah yang amat sangat. Tetapi, pada minggu lepas, Ila tidak berdaya, emak, ayah. Kemarahan Cikgu Rozi telah sampai ke kemuncaknya.

Sikap menyinga Cikgu Rozi telah berjaya memerangkap Ila dalam keadaan ketakutan. Ila tidak ada pilihan selain mematuhi perintah Cikgu Rozi. Lalu, Ila terpaksa juga menepuk air di dulang kita. Memang air itu terpercik ke muka Ila dan juga ke muka emak dan ayah. Lanjutan daripada pengakuan Ila itulah, emak dan ayah telah dipanggil ke sekolah hari ini.

Salahkah Ila?

Dipandang dari satu segi, memang Ila yang bersalah. Emak dan ayah pun tentu akan menyalahkan Ila. Ila tidak patut bertindak begitu.

Tetapi, kalau Ila enggan berterus terang, Cikgu Rozi akan mendesak dan terus mendesak. Ila tidak sanggup menjadi sasaran kemarahannya lagi, emak, ayah. Ila tidak rela terus dileter dan ditengking herdik, emak, ayah. Lagipun, angkara emak dan ayah sudah membengkak dan menjadi bisul yang besar di sanubari Ila. Tunggu masa untuk pecah sahaja.

Emak dan ayah yang ambil duit Ila. Setiap kali Ila pulang bercuti, ayah dan emak akan selongkar beg duit Ila. Emak dan ayah akan tengok buku bank Ila. Emak dan ayah akan ambil duit dalam dompet Ila. Emak dan ayah akan bawa Ila ke bank untuk mengeluarkan duit Ila. Emak dan ayah kata, Ila perlu membantu mencukupkan perbelanjaan keluarga.

“Tapi, cikgu tak bagi ambil duit tu." Ila pernah memprotes.

"Apa yang cikgu tu tahu?" sanggah ayah. "Dia cuma mengajar di sekolah. Dia tak tahu betapa susah payahnya ibu bapa mencari duit untuk menyara persekolahan anak-anak."

"Lagipun, cikgu tu tak ada hak nak marah Ila, kalau kami ambil duit Ila. Duit tu duit Ila, bukan duit dia," tokok emak.

“Tapi, dia berhak tahu ke mana duit tu Ila habiskan, sebab dia yang telah mengusahakan agar Ila dapat bantuan tu setiap tahun." Ila mengutarakan hujah yang Ila kira cukup konkrit.

"Mendapatkan bantuan untuk anak-anak murid memang tanggungjawab cikgu," sela ayah “Tapi, dia tak bolehlah nak jaga setiap sen duit tu."

Ila tidak kuasa hendak terus bertegang leher dengan emak dan ayah. Macam mana sekali pun bernasnya hujah-hujah Ila, Ila tahu Ila akan tetap tewas.

Lantaran itu, Ila terpaksa menurut kemahuan emak dan ayah. Maka, jurang yang telah, sedia wujud antara Ila dengan emak dan ayah , menjadi kian besar. Semakin hari, emak dan ayah semakin melampau. Sikap diskriminasi emak dan ayah terhadap anak-anak semakin ketara. Apabila tiba hari raya, Ila tidak dibelikan pakaian baharu seperti adik-beradik Ila yang lain. Walhal, emak dan ayah bukanlah fakir sangat.

"Untuk Ila tak payah belilah. Dia selalu dapat bantuan sebab dia cacat."

"Ya tak ya juga, kan? Ila selalu dapat baju raya cantik dan duit raya yang banyak."

Tahukah emak dan ayah, yang setiap kali Ila mendapat bantuan, tidak kiralah sama ada bantuan kewangan atau bantuan dalam bentuk lain, Ila akan berasa bersalah kepada diri Ila sendiri. Ila berasa Ila telah merampas hak orang lain yang lebih daif dan lebih memerlukan bantuan tersebut. Ila tidak patut mendapat sumbangan itu kerana Ila dari keluarga yang serba cukup walaupun tidak mewah.

Kalau ayah dan emak hendak tahu, Cikgu memilih Ila untuk mendapat bantuan, kerana yuran sekolah dan yuran asrama Ila selalu tidak berbayar. Wang saku Ila juga selalu tidak kecukupan. Kerana itulah cikgu membuat andaian yang emak dan ayah tidak mampu. Lantas, nama Ila turut tersenarai untuk menerima apa-apa sahaja bentuk bantuan.

Sebetulnya, emak dan ayah sengaja membiarkan Ila keputusan wang. Emak dan ayah sengaja melepaskan tanggungjawab terhadap anak emak dan ayah yang seorang ini. Emak dan ayah mengharap agar kecacatan Ila dapat memancing simpati masyarakat. Ila malu, emak, ayah. Kereta ayah sering bertukar ganti. Perabot di rumah kita juga begitu. Tetapi, yuran Ila asyik sangkut sahaja. Ila lebih malu lagi apabila derma ikhlas orang lain untuk Ila, ayah dan emak ambil. Emak dan ayah mampu memberikan sebanyak mana wang yang diminta oleh anak-anak emak dan ayah yang lain. Tetapi, emak dan ayah akan berkira apabila Ila meminta seringgit dua.

Emak dan ayah bukan setakat enggan berbelanja untuk Ila. Lebih jauh daripada itu, emak dan ayah langsung tidak menghargai kebolehan dan keupayaan Ila. Setiap kali Hari Anugerah Cemerlang diadakan, Ila sering mengharapkan kehadiran emak dan ayah dalam majlis itu. Ila mahu emak dan ayah lihat sendiri Ila naik ke pentas dan menerima hadiah sebagai pelajar terbaik. Ila mahu emak dan ayah menyaksikan sendiri bagaimana Ila yang cacat ini dapat mengatasi kawan-kawan lain yang sempurna sifat dalam peperiksaan.

Sayang! Emak dan ayah tidak pernah sudi hadir. Guru-guru dan kawan-kawan pula yang beria-ia meraikan kejayaan Ila.

Kenapa demikian layanan emak dan ayah terhadap Ila?

Walau bagaimanapun, Ila harus berterima kasih kepada emak dan ayah kerana telah mendera batin Ila. Setidak-tidaknya, penderaan ini
telah mematangkan Ila. Penderaan ini juga telah membuatkan Ha lebih tekun belajar kerana Ila tahu Ila tidak akan mendapat perlindungan sewajarnya daripada emak dan ayah. Ila umpama melukut di tepi gantang pada pandangan emak dan ayah. Ila sedar Ila harus berusaha bersungguh-sungguh dari sekarang demi masa hadapan Ila dan demi membela nasib Ila sendiri.

Mungkin Ila tidak akan menjadi pelajar yang cerdas dan cergas seandainya Ila membesar dalam limpahan kasih sayang emak dan ayah. Mungkin Ila akan menjadi murid pemalas kerana Ila terlalu dimanjakan. Ya, sesungguhnya Ila percaya ada hikmat tersembunyi di sebalik setiap kesusahan dan penderitaan.

Biar macam mana sekalipun sikap emak dan ayah terhadap Ila, Ila akan terus menghormati dan menyayangi emak dan ayah. Seboleh mungkin, Ila tidak mahu menjerat emak dan ayah dalam peristiwa yang memalukan, seperti peristiwa pada hari ini. Tetapi, Ila tidak berdaya, emak, ayah.

Sudah sampai ke mana mesyuarat dalam bilik tuan pengetua? Siapayang sedang menguasai mesyuarat itu? Cikgu-cikgu atau emak dan ayah?'

Ha, Ila dapat mendengar pintu bilik puan Pengetua berkeriut dibuka dan serentak itu bunyi beberapa pasang tapak kasut sedang menghala ke arahnya. Siapakah agaknya yang sedang menghampiri Ila?

"Ila."

"Ya... emak."

"Ila."

"Ya... ayah."

Mengapa emak dan ayah diam? Katakanlah apa yang emak dan ayah ingin katakan. Kalau emak dan ayah menganggap Ila bersalah, Ila sudah bersedia untuk menerima hukuman. Marahlah Ila. Jerkahlah Ila. Ila tahu, emak, ayah. Perlakuan Ila telah mengakibatkan maruah emak dan ayah tergugat hari ini.

"Ila." Lembutnya usapan dan belaian tangan emak. Sudah lama Ila tidak berasa nikmat belaian dan usapan itu.

"Ila." Ayah menyentuh bahu Ila. Sudah lama Ila merindui sentuhan ini.

Kiranya, pertemuan emak dan ayah bersama-sama guru-guru Ila telah mengubah sikap emak dan ayah terhadap Ila? Kiranya, peristiwa hari ini telah berjaya merobohkan tembok pemisah antara kita?

Tetapi, adakah perlakuan emak dan ayah ini lahir dari hati yang benar-benar tulus dan ikhlas? Atau, mungkinkah semua ini lakonan cuma di hadapan guru-guru Ila? Emak dan ayah ingin membuktikan kepada mereka bahawa emak dan ayah adalah ibu bapa yang prihatin.

Ah! Sukar untuk Ila tafsirkan makna semua ini.



--
Never love a love that hurts...
never hurt a love that loves !!!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kenangan yang pahit lebih bermakna dari mimpi yang indah....
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kenangan itu kadangkala teramat pahit untuk diredah, tetapi ia terlalu manis untuk dikenang. Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.Andainya hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir. Kecewa bercinta bukan bermakna dunia sudah berakhir.Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan.Hidup ini indah jika kita tahu menghargainya... Tapi ia amat menyakitkan andai kita melaluinya sambil lewa... moga akan kembali ceria kehidupannya nanti...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...