Wednesday, August 18, 2010

CERPEN - Menepuk Air di Dulang


Maafkan   Ila,   emak.

Ampunkan Ila, ayah.

Ila tahu Ila yang bertanggungjawab menyebabkan ayah dan emak sedang berhadapan dengan satu keadaan yang amat tidak menyenangkan sekarang. Ila sedar, kerana Ilalah ayah dan mak terpaksa bersemuka dengan pengetua, guru penolong kanan hal ehwal murid, dan Cikgu Rozi sekarang.

Memang Ila tidak dapat mendengar perbincangan yang sedang berlangsung di bilik puan pengetua ketika ini. Namun, sedikit sebanyak Ila dapat mengagak dan menelah biji butirnya. Bukan itu sahaja. Malah, Ila seperti dapat mendengar suara lantang emak. Ila seperti dapat mendengar tengkingan ayab.

Ketahuilah, emak. Ketahuilah, ayah. Tidak pernah terlintas di bati Ila untuk menjatubkan air muka emak dan ayab di hadapan cikgu. Tidak pernah terniat di hati ini untuk menconteng arang ke muka orang-orang yang telah menyebabkan Ila lahir ke dunia. Sebetulnya, Ila menyayangi emak dan ayah walaupun emak dan ayah sering menggores hati Ila.

Bukan senang untuk Ila buat keputusan ini, emak. Bukan mudah untuk Ila mengambil ketetapan ini, ayah. Tuhan sahaja yang mengetahui betapa beratnya hati Ila, tatkala Ila mencurahkan segala-galanya kepada Cikgu Rozi.

Cikgu Rozi kerap benar memarahi Ila. Dia marah Ila bukan kerana dia benci Ila. Dia marah bukan kerana Ila nakal. Dia marah bukan kerana Ila bodoh. Dia marah sebab dia terlalu mengambil berat tentang Ila.

"Duit awak dalam bank tinggal seringgit saja? Apa yang telah awak buat dengan duit awak yang banyak tu?" Cikgu Rozi pasti akan terkejut setiap kali dia meminta buku akaun Ila dan memeriksa baki wang itu.

Apabila disergah begitu, Ila hanya mendiamkan diri.

"Ya ... ya ... cikgu." Ila tidak ubah seperti anak tikus yang sedang berhadapan dengan seekor kucing garang.

"Apa awak buat dengan duit tu?"

"Say a... say a...."

Berkali-kali Ila ingin berterus terang. Berkali-kali Ila ingin menyatakan perkara yang sebenarnya. Biar Cikgu Rozi puas. Biar Cikgu Rozi tabu apa yang sedang terbuku dalam hati Ila.

Pun begitu, jawapan Ila akan tinggal tergantung apakala Ila mengenangkan emak dan ayah. Ila tidak berani menepuk air di dulang, kerana Ila tahu air itu akan terpercik ke muka Ila sendiri.

"Duit yang awak dapat tu bukan untuk dijolikan. Duit tu untuk menampung perbelanjaan persekolahan awak. Duit tu untuk simpanan masa depan awak. Duit tu mesti digunakan dengan sebaik-baiknya."

Ila telah belajar merelakan diri mendengar leteran Cikgu Rozi yang berulang-ulang, semata-mata kerana mahu menjaga nama baik emak dan ayah.

"Awak dipilih untuk mendapat bantuan biasiswa ini kerana awak susah. Keluarga awak miskin."

Air mata Ila akan mula jatuh berderai setiap kali telinga Ila menangkap kata-kata demikian yang diluahkan oleh guru yang Ila hormati itu. Kata-kata itu menggegarkan perasaan Ila sungguhpun kata-kata diucapkan secara bersahaja.

Benarkah aku susah? Benarkah keluargaku miskin? Ila akan tertanya-tanya sendiri.

"Awak buat apa dengan duit tu, ha?" Pertanyaan itu bagaikan dentuman guruh yang mengejutkan seisi alam.

Biasanya, Ila dapat kawal diri Ila supaya tidak terlepas cakap, biarpun Ila berasa bersalah yang amat sangat. Tetapi, pada minggu lepas, Ila tidak berdaya, emak, ayah. Kemarahan Cikgu Rozi telah sampai ke kemuncaknya.

Sikap menyinga Cikgu Rozi telah berjaya memerangkap Ila dalam keadaan ketakutan. Ila tidak ada pilihan selain mematuhi perintah Cikgu Rozi. Lalu, Ila terpaksa juga menepuk air di dulang kita. Memang air itu terpercik ke muka Ila dan juga ke muka emak dan ayah. Lanjutan daripada pengakuan Ila itulah, emak dan ayah telah dipanggil ke sekolah hari ini.

Salahkah Ila?

Dipandang dari satu segi, memang Ila yang bersalah. Emak dan ayah pun tentu akan menyalahkan Ila. Ila tidak patut bertindak begitu.

Tetapi, kalau Ila enggan berterus terang, Cikgu Rozi akan mendesak dan terus mendesak. Ila tidak sanggup menjadi sasaran kemarahannya lagi, emak, ayah. Ila tidak rela terus dileter dan ditengking herdik, emak, ayah. Lagipun, angkara emak dan ayah sudah membengkak dan menjadi bisul yang besar di sanubari Ila. Tunggu masa untuk pecah sahaja.

Emak dan ayah yang ambil duit Ila. Setiap kali Ila pulang bercuti, ayah dan emak akan selongkar beg duit Ila. Emak dan ayah akan tengok buku bank Ila. Emak dan ayah akan ambil duit dalam dompet Ila. Emak dan ayah akan bawa Ila ke bank untuk mengeluarkan duit Ila. Emak dan ayah kata, Ila perlu membantu mencukupkan perbelanjaan keluarga.

“Tapi, cikgu tak bagi ambil duit tu." Ila pernah memprotes.

"Apa yang cikgu tu tahu?" sanggah ayah. "Dia cuma mengajar di sekolah. Dia tak tahu betapa susah payahnya ibu bapa mencari duit untuk menyara persekolahan anak-anak."

"Lagipun, cikgu tu tak ada hak nak marah Ila, kalau kami ambil duit Ila. Duit tu duit Ila, bukan duit dia," tokok emak.

“Tapi, dia berhak tahu ke mana duit tu Ila habiskan, sebab dia yang telah mengusahakan agar Ila dapat bantuan tu setiap tahun." Ila mengutarakan hujah yang Ila kira cukup konkrit.

"Mendapatkan bantuan untuk anak-anak murid memang tanggungjawab cikgu," sela ayah “Tapi, dia tak bolehlah nak jaga setiap sen duit tu."

Ila tidak kuasa hendak terus bertegang leher dengan emak dan ayah. Macam mana sekali pun bernasnya hujah-hujah Ila, Ila tahu Ila akan tetap tewas.

Lantaran itu, Ila terpaksa menurut kemahuan emak dan ayah. Maka, jurang yang telah, sedia wujud antara Ila dengan emak dan ayah , menjadi kian besar. Semakin hari, emak dan ayah semakin melampau. Sikap diskriminasi emak dan ayah terhadap anak-anak semakin ketara. Apabila tiba hari raya, Ila tidak dibelikan pakaian baharu seperti adik-beradik Ila yang lain. Walhal, emak dan ayah bukanlah fakir sangat.

"Untuk Ila tak payah belilah. Dia selalu dapat bantuan sebab dia cacat."

"Ya tak ya juga, kan? Ila selalu dapat baju raya cantik dan duit raya yang banyak."

Tahukah emak dan ayah, yang setiap kali Ila mendapat bantuan, tidak kiralah sama ada bantuan kewangan atau bantuan dalam bentuk lain, Ila akan berasa bersalah kepada diri Ila sendiri. Ila berasa Ila telah merampas hak orang lain yang lebih daif dan lebih memerlukan bantuan tersebut. Ila tidak patut mendapat sumbangan itu kerana Ila dari keluarga yang serba cukup walaupun tidak mewah.

Kalau ayah dan emak hendak tahu, Cikgu memilih Ila untuk mendapat bantuan, kerana yuran sekolah dan yuran asrama Ila selalu tidak berbayar. Wang saku Ila juga selalu tidak kecukupan. Kerana itulah cikgu membuat andaian yang emak dan ayah tidak mampu. Lantas, nama Ila turut tersenarai untuk menerima apa-apa sahaja bentuk bantuan.

Sebetulnya, emak dan ayah sengaja membiarkan Ila keputusan wang. Emak dan ayah sengaja melepaskan tanggungjawab terhadap anak emak dan ayah yang seorang ini. Emak dan ayah mengharap agar kecacatan Ila dapat memancing simpati masyarakat. Ila malu, emak, ayah. Kereta ayah sering bertukar ganti. Perabot di rumah kita juga begitu. Tetapi, yuran Ila asyik sangkut sahaja. Ila lebih malu lagi apabila derma ikhlas orang lain untuk Ila, ayah dan emak ambil. Emak dan ayah mampu memberikan sebanyak mana wang yang diminta oleh anak-anak emak dan ayah yang lain. Tetapi, emak dan ayah akan berkira apabila Ila meminta seringgit dua.

Emak dan ayah bukan setakat enggan berbelanja untuk Ila. Lebih jauh daripada itu, emak dan ayah langsung tidak menghargai kebolehan dan keupayaan Ila. Setiap kali Hari Anugerah Cemerlang diadakan, Ila sering mengharapkan kehadiran emak dan ayah dalam majlis itu. Ila mahu emak dan ayah lihat sendiri Ila naik ke pentas dan menerima hadiah sebagai pelajar terbaik. Ila mahu emak dan ayah menyaksikan sendiri bagaimana Ila yang cacat ini dapat mengatasi kawan-kawan lain yang sempurna sifat dalam peperiksaan.

Sayang! Emak dan ayah tidak pernah sudi hadir. Guru-guru dan kawan-kawan pula yang beria-ia meraikan kejayaan Ila.

Kenapa demikian layanan emak dan ayah terhadap Ila?

Walau bagaimanapun, Ila harus berterima kasih kepada emak dan ayah kerana telah mendera batin Ila. Setidak-tidaknya, penderaan ini
telah mematangkan Ila. Penderaan ini juga telah membuatkan Ha lebih tekun belajar kerana Ila tahu Ila tidak akan mendapat perlindungan sewajarnya daripada emak dan ayah. Ila umpama melukut di tepi gantang pada pandangan emak dan ayah. Ila sedar Ila harus berusaha bersungguh-sungguh dari sekarang demi masa hadapan Ila dan demi membela nasib Ila sendiri.

Mungkin Ila tidak akan menjadi pelajar yang cerdas dan cergas seandainya Ila membesar dalam limpahan kasih sayang emak dan ayah. Mungkin Ila akan menjadi murid pemalas kerana Ila terlalu dimanjakan. Ya, sesungguhnya Ila percaya ada hikmat tersembunyi di sebalik setiap kesusahan dan penderitaan.

Biar macam mana sekalipun sikap emak dan ayah terhadap Ila, Ila akan terus menghormati dan menyayangi emak dan ayah. Seboleh mungkin, Ila tidak mahu menjerat emak dan ayah dalam peristiwa yang memalukan, seperti peristiwa pada hari ini. Tetapi, Ila tidak berdaya, emak, ayah.

Sudah sampai ke mana mesyuarat dalam bilik tuan pengetua? Siapayang sedang menguasai mesyuarat itu? Cikgu-cikgu atau emak dan ayah?'

Ha, Ila dapat mendengar pintu bilik puan Pengetua berkeriut dibuka dan serentak itu bunyi beberapa pasang tapak kasut sedang menghala ke arahnya. Siapakah agaknya yang sedang menghampiri Ila?

"Ila."

"Ya... emak."

"Ila."

"Ya... ayah."

Mengapa emak dan ayah diam? Katakanlah apa yang emak dan ayah ingin katakan. Kalau emak dan ayah menganggap Ila bersalah, Ila sudah bersedia untuk menerima hukuman. Marahlah Ila. Jerkahlah Ila. Ila tahu, emak, ayah. Perlakuan Ila telah mengakibatkan maruah emak dan ayah tergugat hari ini.

"Ila." Lembutnya usapan dan belaian tangan emak. Sudah lama Ila tidak berasa nikmat belaian dan usapan itu.

"Ila." Ayah menyentuh bahu Ila. Sudah lama Ila merindui sentuhan ini.

Kiranya, pertemuan emak dan ayah bersama-sama guru-guru Ila telah mengubah sikap emak dan ayah terhadap Ila? Kiranya, peristiwa hari ini telah berjaya merobohkan tembok pemisah antara kita?

Tetapi, adakah perlakuan emak dan ayah ini lahir dari hati yang benar-benar tulus dan ikhlas? Atau, mungkinkah semua ini lakonan cuma di hadapan guru-guru Ila? Emak dan ayah ingin membuktikan kepada mereka bahawa emak dan ayah adalah ibu bapa yang prihatin.

Ah! Sukar untuk Ila tafsirkan makna semua ini.



--
Never love a love that hurts...
never hurt a love that loves !!!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kenangan yang pahit lebih bermakna dari mimpi yang indah....
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kenangan itu kadangkala teramat pahit untuk diredah, tetapi ia terlalu manis untuk dikenang. Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.Andainya hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir. Kecewa bercinta bukan bermakna dunia sudah berakhir.Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan.Hidup ini indah jika kita tahu menghargainya... Tapi ia amat menyakitkan andai kita melaluinya sambil lewa... moga akan kembali ceria kehidupannya nanti...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...